Siapa sangka komposer dan pemuzik, Ross Ariffin, 61, yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza,
Dan Ning Baizura, kini dilapor hidup sebagai gelandangan dan merempat.
Ross yang juga pencipta lagu Fauziah Latiff dan Liza Aziz berkata, dia hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni, dan juga Melaka.
“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun. Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan,” katanya memetik Harian Metro.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia turut dua kali diserang angin ahmar dan kini sukar untuk berjalan dan bercakap.
Ross yang kini sukar untuk bekerja tinggal di rumah perlindungan Samaritan Hope Home, Pudu.
“Kehidupan saya bertukar 360 darjah apabila penularan COVID-19 menyebabkan saya menjadi penganggur dan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat menghasilkan muzik,” katanya.
Ross berkata, dia bercerai dengan isterinya 10 tahun lalu dan terpaksa keluar dari rumah.
“Saya ada dua anak tetapi tidak berhubung dengan mereka. Saya tidak mahu mereka bimbang dengan keadaan saya,” katanya.
Ross berkata, dia akan kembali bekerja selepas pulih nanti.
“Saya akan menerima pekerjaan yang ditawarkan apabila sembuh nanti. Saya boleh bermain piano di hotel untuk mendapatkan wang. Saya juga boleh menulis lagu lagi,” katanya yang juga pencipta lagu Kau Dan Aku nyanyian Ning Baizura.
Menceritakan pengalamannya, Ross berkata, dia pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola selain berpeluang mengembara ke pelbagai negara.
Dia juga pernah aktif sebagai pemuzik undangan atau ‘sessionist’ dan terbabit dalam banyak rakaman album artis tempatan antaranya kumpulan Search.
“Kalau boleh, saya juga nak pulang ke kampung di Melaka kerana di sana ada banyak peluang pekerjaan untuk saya,” katanya.
Sebelum ini, dia pernah bekerja melipat tuala dan cadar di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka tanpa bayaran, sebaliknya dia dibenarkan menginap secara percuma.
Ross juga ditawarkan untuk bermain muzik setiap malam di sebuah restoran di Jalan Hang Tuah, Melaka dan pengusaha restoran itu menyediakan bilik secara percuma untuknya.
Baca juga:Isteri pilot akhirnya dedah ‘penyondol’“6 kali dah curang, kantoi sebab gambar tak sempat padam”