Misteri kehilangan seorang nenek akhirnya terbongkar selepas cucu wanita tersebut menemui jasad tidak bernyawa di dalam sebuah ladang tebu.
Lebih menyayat hati, nenek yang berusia 75 tahun itu dijumpai oleh cucunya dalam keadaan tidak berpakaian di separuh badan dan baring terlentang di lokasi kejadian.
Difahamkan, nenek yang mencari rezeki dengan mengumpul dan menjual barangan kitar semula itu keluar daripada rumahnya kira-kira pada pukul 9 pagi, 6 Januari lalu.
Cucu yang khuatir apabila neneknya tidak pulang ke rumah sehingga jam 2 petang itu keluar mencarinya dan ternampak kesan darah di sebuah bilik pameran kereta.
Lelaki berusia 27 tahun itu kemudian menjejaki kesan seretan daripada bilik pameran terbiar tersebut menuju ke sebuah ladang tebu sebelum menjumpai jasad neneknya.
Bertindak dengan segera, cucu mangsa terus tampil membuat laporan di Balai Polis Mueang Sakaeo yang terletak di wilayah Sa Kaeo, timur Thailand, lapor The Thaiger.
Pihak polis yang percaya bahawa mangsa telah dirogol sebelum dibunuh itu turut menemui beg berisi alat binaan, pakaian dan sebilah kapak dipercayai milik pelaku.
Seorang lelaki warganegara Thailand yang dikenal pasti sebagai Somchai Buasing disyaki terlibat kerana terus menghilang diri selepas kejadian mengerikan itu berlaku.
Difahamkan tiga hari sebelum kejadian, Somchai tiba di Sa Kaeo dengan menaiki bas awam dan meminta makanan serta minuman daripada pegawai polis yang bertugas.
Somchai yang meminta izin menumpang di balai polis sementara menunggu bas ke wilayah Saraburi itu tiba-tiba menghilangkan diri sebelum menaiki kenderaan tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan suspek pada 7 Januari sebelum pemuda berkenaan mengaku membunuh namun menafi merogol mangsa.
Tidak mempercayai pengakuan tersebut, pihak polis meneruskan soal siasat hingga Somchai akhirnya mengakui merogol mangsa yang dikenali sebagai Boonnam itu.
Ketika kejadian, Boonnam dilihat berjalan seorang diri di tepi jalan sebelum Somchai bertindak menghampiri lalu mengheret mangsa ke dalam ladang tebu tersebut.
Suspek yang memiliki rekod jenayah memiliki senjata api itu telah memukul Boonnam dengan batu selain turut menyerang nenek malang tersebut secara seksual.