Nasihat Pakar Ditolak Zaman BN Punca THP Rugi RM1.24 Billion

Nasihat Pakar Ditolak Zaman BN Punca THP Rugi RM1.24 Billion

Agak sukar untuk dipercayai sebuah syarikat sebesar TH Plantations Berhad (THP) tidak dapat me­lakukan proses usaha wajar sehingga mem­beli aset dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada sepatutnya.

Namun, itulah yang berlaku kepada syarikat itu dalam urusan jual beli syarikat Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd. (MW) pada Oktober 2012.

THP membeli BSV dan MW dengan harga RM254.58 juta pada 2012; harga yang wajar jika berdasarkan kepada nilai syarikat yang sama hari ini hanya kira-kira RM180 juta.

Beberapa ‘insiden’ yang berlaku semasa pembelian aset itu juga meragukan namun tidak diendahkan ketika itu, seperti yang didedahkan sumber-sumber industri kepada Utu­san Malaysia.

Difahamkan lembaga pengarah THP mengarahkan supaya penilaian kedua dilakukan bagi mengesahkan penilaian awal.

“THP telah melantik sebuah syarikat penilai untuk membuat penilaian semula tetapi menghadapi pelbagai masalah diberikan kepada syarikat itu. Akhirnya penilaian tidak dibuat dan deposit RM50,000 hangus,” jelas sumber.

Peristiwa kedua pula apabila seorang pegawai kanan THP membuat pemantauan sendiri menggunakan helikopter dan memutuskan ladang milik BSV tidak sesuai dibeli.

Data-data keberhasilan aset tersebut tidak seperti yang diunjurkan ketika pembelian dilakukan.

Ia kemudiannya membawa kepada siasatan oleh juruaudit bebas, PricewaterhouseCo­opers (PWC) yang akhirnya terbukti berlaku salah laku dalam urusan jual beli aset tersebut.

“Ahli Lembaga Pengarah THP hanya minta PWC siasat pembelian tiga aset iaitu milik BSV dan MW, PT Persada Kencana Prima (PT PKP) serta Hyd­roflow Sdn. Bhd (Hydroflow).

“Salah laku dikesan dalam urusan pembelian BSV dan MW serta PT PKP. Untuk Hydroflow, PWC percaya ada salah laku tetapi tidak terdapat bukti,” kata sumber itu.

“Laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Siasatan oleh ketiga-tiga pihak itu kini masih dijalankan,” kata sumber itu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan namun ia membabitkan dua pembelian tanah di Indonesia oleh THP berkaitan ladang kelapa sawit sejak tahun lalu.

Difahamkan, kertas siasatan tersebut telah dilengkapkan dan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tetapi dipulangkan semula kepada PDRM untuk semakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan anak sya­rikat kerajaan negeri Te­rengganu, TDM Berhad me­ngumumkan proses pengambilalihan THP-YT Plantation Sdn. Bhd. (THT-YT) daripada THP telah selesai pada 31 Julai lepas.

Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin dalam kenyataan hari ini berkata, ini menjadikan THP-YT sebagai satu daripada anak syarikat di bawah TDM Berhad secara rasmi pada 1 Ogos dan TDM Berhad turut mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 hektar. – UTUSAN

COMMENTS