Nampak biasa je tapi 6 helai jersi ini bernilai lebih RM36 juta!
Enam helai jersi yang pernah dipakai oleh pemain bola Argentina terkemuka, Lionel Messi,
Telah laku terjual dengan jumlah keseluruhan sebanyak $7.8 juta (RM36.4 juta) dalam suatu lelongan baru-baru ini.
Menurut laporan AFP, jersi-jersi tersebut dipakai oleh Messi semasa Piala Dunia Qatar pada tahun 2022, termasuklah dalam perlawanan akhir antara Argentina dan Perancis, separuh akhir, suku akhir, pusingan 16, dan perlawanan kumpulan.
Rumah lelong Sotheby’s melaporkan bahawa jersi yang dipakai oleh pemain berusia 36 tahun itu telah menerima tiga bidaan, dan harga jualan kesemua jersi ini telah memecahkan rekod bagi penjualan item berkaitan dengan bintang Argentina itu.
Jersi Messi dianggap sebagai salah satu item ikonik dalam sejarah lelongan sukan
Tidak hanya itu, jersi tersebut juga menjadi item sukan paling bernilai yang terjual dalam sesi lelongan sepanjang tahun ini bagi rumah lelong tersebut.
“Prestasi ini juga menjadi pengiktirafan terhadap Sotheby’s dalam mempersembahkan koleksi yang bernilai ini kepada orang ramai, yang menggambarkan kecemerlangan seorang pemain bola sepak,” kata Ketua Koleksi Moden Sotheby’s, Brahm Wachter.
Untuk makluman, Messi telah memimpin Argentina meraih trofi Piala Dunia 2022. Argentina meraih kemenangan dengan menewaskan Perancis 4-2 menerusi sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang epik di Stadium Lusail pada 18 Disember tahun lalu.
Pada awal bulan ini, majalah TIME menamakan Messi sebagai “Atlet Terbaik Tahun 2023” selepas menunjukkan aksi yang mengagumkan dan menerima anugerah Ballon d’Or untuk kali kedelapan.
Kini, Messi beraksi bersama Inter Miami dalam saingan Major League Soccer selepas berpindah dari Paris Saint-Germain pada bulan Jun lalu.