Nafi wujud undi tidak percaya

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Negeri Melaka Datuk Noor Effandi Ahmad menafikan khabar angin kononnya terdapat usaha melakukan undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Adly Zahari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka esok dengan menafikan Belanjawan 2020 Negeri Melaka yang dibentangkan Isnin lalu.

Sebaliknya, beliau akan tetap menyokong belanjawan negeri apabila proses pengundian untuk meluluskan belanjawan itu diadakan kelak.

“Saya ingat sepanjang dua hari persidangan kita semua tenang sahaja.

“Hari Khamis ini saya akan angkat tangan (menyokong belanjawan negeri), maka tidak perlu takut,” katanya ketika ditemui media di luar Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu turut menafikan ada bertemu dengan mana-mana wakil rakyat UMNO bagi membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri ini.

Menurut Noor Effandi, beliau tidak pernah menyertai UMNO dan tidak mengenali sesiapa dalam parti tersebut untuk mengadakan pertemuan bagi mengukuhkan rancangan menjatuhkan Adly.

“Saya nak jawab senang sahaja, saya tidak pernah masuk UMNO dan kamu boleh semak.

“BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) adalah parti politik pertama saya sertai. Jadi kalau nak bincang pun saya tidak kenal orang UMNO,” katanya menjawab persoalan media mengenai pertemuan itu seperti yang didakwa oleh sebuah portal berita.

Bekas pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta itu menegaskan bahawa beliau menyertai BERSATU dan PH kerana ingin bersama-sama membina Malaysia Baru.

Sehubungan itu, beliau akan tetap bersama dengan parti-parti komponen PH di Melaka.

“Maknanya, macam saya pengerusi saya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, apa juga tindakan Tun Mahathir saya akan ikut.

“Kerajaan pintu belakang ke kerajaan pintu depan ke, saya akan ikut Tun Dr Mahathir, itu sahaja,” jelasnya.

 

Berita Asal :https://melakakini.my/nafi-wujud-undi-tidak-percaya-effandi/