Mula-mula jadi pengapit, kini tawar servis ‘bride assistant’ untuk pengantin

Oleh AHMAD SULAIMAN

Kita biasa mendengar tentang pengapit atau mak andam yang sering membantu pengantin pada hari bahagia mereka.

Namun, tahukah anda kini sudah ramai individu menawarkan perkhidmatan sebagai ‘Bride Assistant’ (BA) yang bertanggungjawab membantu pengantin perempuan dari A hingga Z?

Tidak terkecuali buat seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Quirratul.

Pengalaman Sebagai ‘Bride Assistant’

Sudah berkecimpung dalam bidang ini lebih setahun, wanita yang mesra disapa Nur berkata, buat masa ini dia menawarkan khidmat tersebut secara sambilan (part-time).

Mula-mula jadi pengapit, kini tawar servis ‘bride assistant’ untuk pengantin

“Tugas utama seorang BA adalah memastikan kelancaran majlis perkahwinan. Perkhidmatan BA sebenarnya sudah lama wujud di luar negara. Di Malaysia, ia mula mendapat perhatian sekitar setahun yang lalu.

“Saya bermula selepas menonton satu kandungan mengenai BA di media sosial. Kebetulan, saya pernah menjadi pengapit untuk ahli keluarga dan kawan-kawan, jadi saya fikir mengapa tidak mencuba?

“Pada September 2023, saya pertama kali menjadi BA untuk majlis sahabat saya sendiri. Saya turut menghasilkan video mengenai tugas BA, dan tidak sangka video itu tular,” kata Nur, 25 tahun, kepada mStar.

Sokongan Positif
Perkongsiannya di media sosial menerima sambutan hangat dengan ramai netizen memberikan sokongan.

“Ramai komen, ‘untungnya pengantin sekarang boleh hire BA’. Ada juga yang berkongsi pengalaman buruk kerana bridesmaids tidak membantu seperti diharapkan.

“Tugas BA bukan sekadar membantu pengantin bersiap tetapi melibatkan keseluruhan persediaan, termasuk menjadi floor manager, pengapit, hingga mengurus sesi fotografi. Ia bergantung kepada pakej perkhidmatan yang ditawarkan,” jelas Nur, yang bekerja di bahagian pentadbiran sumber manusia di sebuah syarikat swasta di Perak.

Cabaran dan Kenangan
Antara tugas BA termasuk membantu pengantin berdandan dan memastikan penampilan mereka sentiasa sempurna sepanjang majlis.

“Banyak kenangan manis yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Antara yang paling menggembirakan adalah apabila mendapat maklum balas positif daripada pengantin, malah ada yang mencadangkan khidmat saya kepada rakan mereka.

“Namun, saya juga pernah menghadapi cabaran seperti pengantin jatuh sakit. Saya ingat lagi satu majlis di mana pengantin mengalami gastrik dan muntah beberapa kali. Ia pengalaman mencabar, tetapi saya belajar untuk lebih bersedia selepas itu,” kongsinya yang berasal dari Sungkai, Perak.

Masa Depan Cerah
Melihat potensi cerah dalam bidang ini, Nur turut memberikan nasihat kepada individu yang berminat untuk menjadi BA.

“Jika anda baru bermula, survey harga pasaran dan sediakan senarai tugas dengan jelas. Berdasarkan pengalaman saya, kerjaya ini boleh menjadi satu profesion baharu yang mempunyai permintaan tinggi.

“Kepada bakal pengantin, sangat digalakkan untuk menggunakan khidmat BA kerana ia boleh melancarkan majlis anda. Kadangkala, kita segan nak minta tolong kawan-kawan, tetapi BA akan melaksanakan semua tugas yang diperlukan kerana itu peranannya.

“Malah, ramai MUA (make-up artist), perancang perkahwinan, dan jurugambar turut mencadangkan perkhidmatan BA kerana ia membantu menjadikan majlis lebih teratur. Jadi, pengantin hanya perlu fokus untuk menjadi raja sehari,” katanya mengakhiri perbualan.

BACA: Gus Miftah buat hal lagi! Paksa penerima bantuan jalan itik sebelum ambil duit