Mujahid Saman Adun Barisan Nasional

Mahkamah Tinggi Ipoh telah menetapkan tarikh sebutan pada 12/11/2019 bagi kes saman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof terhadap seorang ADUN Barisan Nasional, Mohd Khusairi Abdul Talib.

Saman itu difailkan setelah Mohd Khusairi gagal untuk memohon maaf kepada Mujahid setelah Mujahid melalui peguamnya menghantar satu notis tuntutan ekoran status Facebook Mohd Khusairi yang telah menyiarkan kenyataan kononnya Mujahid mengatakan tindakan menghina agama sepatutnya tidak diambil tindakan kerana ianya kes terpencil sahaja.

Mujahid yang diwakili peguam Noorazmir Zakaria kemudiannya telah memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Khusairi kerana tulisan status Facebook tersebut.

Menurut sumber, Mujahid juga telah memulakan beberapa tindakan perundangan kepada beberapa individu termasuklah ke atas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kerana telah mengeluarkan kenyataan mendakwa Mujahid terlibat menjual aset-aset strategik Tabung Haji.

Mujahid sebelum ini pernah memfailkan saman fitnah terhadap bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang berakhir dengan Kamarul Zaman memohon maaf, menarik balik dan menyatakan kekesalan terhadap artikel bertajuk ‘Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP’ yang dimuat naik dalam akaun Facebook peribadi Kamarul Zaman pada 25 Mei 2017.