Mujahid minta cawangan Amanah terus bergerak aktif bantu masyarakat

Mujahid minta cawangan Amanah terus bergerak aktif bantu masyarakat

PARIT BUNTAR : Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa memuji semangat kental dan keteguhan ahli Amanah mempertahankan prinsip perjuangan walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian disebabkan oleh pembentukan kerajaan pintu belakang.

Menurut Dr. Mujahid, walaupun Adun Titi Serong yang juga mantan Ketua Pemuda AMANAH Nasional meninggalkan perjuangan , ahli AMANAH di Parit Buntar tetap teguh berada di belakang kepimpinan AMANAH Kawasan Parit Buntar.

“Selepas kita kerajaan dirampas, berlaku pula masalah covid namun kita tidak lemah tapi terus turun membantu rakyat di Parit Buntar yang terkesan dengan semasa tempoh PKP.

” Jika ahli kita lemah, pimpinan cawangan kita lemah , mustahil kita dapat menyalurkan bantuan ke seluruh Parit Buntar semasa tempoh PKP” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Cawangan-Cawangan Zon Bandar dan Titi Serong di Bilik Seminar , Pejabat AMANAH Parit Buntar di sini.

Dr Mujahid berkata, semua cawangan AMANAH di Parit Buntar terus bergerak aktif membantu rakyat walaupun AMANAH bukan lagi menjadi kerajaan.

“Kita tidak boleh nafikan berlaku sedikit kekecewaan akibat tindakan Adun Titi Serong, tetapi itu tidak melemahkan semangat perjuangan ahli-ahli parti .

” Malah, jentera kita dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku pilihan raya mengejut dalam masa terdekat ,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha AMANAH Parit Buntar, Ahmad Firdaus Muhammad memberitahu, AMANAH Parit Buntar dalam tempoh mengadakan mesyuarat tahunan peringkat cawangan.

“ AMANAH Parit Buntar mengadakan perasmian Mesyuarat Tahunan melibatkan 42 cawangan berdaftar mengikut tiga zon dalam Parlimen Parit Buntar.

“ Malam ini, 14 cawangan terlibat dalam majlis perasmian ini. Pada Sabtu lepas, perasmian diadakan di zon Bagan Tiang dan Tanjung Piandang melibatkan 18 cawangan” katanya.

Pada majlis berkenaan juga, setiap cawangan AMANAH menerima sebungkus bendera untuk dikibar di cawangan masing-masing.

COMMENTS