Muhyiddin terus pecat sesiapa sahaja yang tidak menyokongnya – Dr Mahathir

Muhyiddin terus pecat sesiapa sahaja yang tidak menyokongnya – Dr Mahathir

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad percaya beliau masih merupakan ahli Bersatu yang mendapat sokongan daripada akar umbi parti itu.

Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata, beliau masih mendapat sokongan walaupun telah dipecat oleh Bersatu yang kini dikuasai presidennya, Muhyiddin Yassin.

“Secara umumnya Bersatu menyokong saya sebagai pengerusi kerana mereka percayakan saya.

“Kami anggap diri kami masih lagi ahli Bersatu. Beliau (Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin) terus pecat sesiapa sahaja sekiranya tidak menyokongnya.

“Itu tidak boleh kerana perlembagaan ada prosedurnya. Oleh itu, saya masih lagi ahli Bersatu dan kami akan tunggu mahkamah untuk putuskan,” kata bekas perdana menteri itu dalam sesi temubual eksklusif dengan The Malaysian Insight.

Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, berkata parti itu mempunyai perlembagaan dan tidak boleh memecat sesiapa tanpa siasatan yang telus.

“Dalam perlembagaan parti, presiden perlu berunding dengan pengerusi, iaitu saya. Tapi beliau pecat saya tanpa bertanya saya. Beliau juga pecat setiausaha agung tanpa tanya saya,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun katanya, Muhyiddin telah memujuk ketua-ketua bahagian untuk menyokongnya.

Ini katanya menyebabkan hampir semua ketua bahagian Bersatu mengubah pendirian mereka dan kini menyokong Muhyiddin.

“Dan jika kamu tidak sokong beliau, beliau akan pecat kamu dan letakkan orang yang menyokongnya.

“Tetapi ramai akar umbi masih menginginkan Bersatu yang lama. Mereka tidak ditawarkan apa-apa dan jumlah mereka ramai. Mereka bukan ahli Parlimen. Mereka merasakan objektif asal Bersatu harus dipertahankan. Maksudnya, kita menentang Umno.

“Kini kita perlu teruskan tanpa pemimpin,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata kempen “Bersatu Blackout” yang dilancarkan pada Sabtu lalu menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan akar umbi.

“Walaupun mereka tiada pemimpin, mereka hadir dengan ramai. Pada Sabtu, saya ada 800 orang dalam dewan.

“Dewan boleh muatkan 2,000 tetapi kerana penjarakan sosial, kami hanya benarkan 800 orang masuk.

“Di luar masih ramai. Kita ada kira-kira 17,000 orang yang tonton siaran langsung di internet,” tambah beliau.

Keanggotaan Mahathir dan empat anggota parlimen lain iaitu Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikaikan, Mukhriz Mahathir, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik, ketua pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Amiruddin Hamzah dilucutkan apabila mereka duduk di blok pembangkang pada sesi Parlimen pada 18 Mei.

Pada 19 Julai, Bersatu memecat Anggota Parlimen Sri Gading Shahruddin Salleh, kerana duduk bersama pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat.

Berita penuh :

https://www.malaysiakini.com/news/535334

COMMENTS