Muhyiddin pun langgar arahan PKP

Muhyiddin pun langgar arahan PKP

Anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar membidas sikap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung peraturan yang perlu dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahad lalu Muhyiddin bersama isterinya Puan Seri Noraini dilaporkan keluar membeli barangan dapur di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur.

Kata Tamrin dalam media sosialnya, Muhyiddin didapati melanggar arahan PKP daripada kerajaan pimpinannya sendiri apabila keluar membeli barangan dapur di sebuah pasaraya bersama isterinya, sedangkan peraturan hanya membenarkan ketua keluarga saja keluar membeli-belah.

“Hanya seorang ketua rumah sahaja dibenarkan membeli belah.

“Muhyiddin ini fahamkan apa yang dia cakap atau tak tahu apa yang dia baca – lihat sajalah foto ini dia dan isteri, Puan Seri Noraini ke Supermarket beli barang keperluan,” kata beliau.

Katanya lagi, dalam sekatan jalanraya, pihak polis nasihatkan orang ramai supaya tidak boleh ada dua orang dalam sebuah kereta.

“Ini cakap tak serupa bikin,” katanya lagi.

SOROT ISTERI DALAM BUT KERETA

Sementara itu di United Kingdom (UK), seorang pemandu telah ditahan pasukan polis kerana sanggup menyorokkan isteri di dalam but kereta bagi mengelak dikesan pihak polis.

Menurut informasi daripada pasukan polis North West Motorway, lelaki itu dipercayai memandu sejauh 200 kilometer semata-mata untuk mengambil barangan yang dibeli menerusi pembelian dalam talian.

Disebabkan barangan yang diambil itu terlalu besar, ia memaksa isteri pemandu tersebut supaya baring di dalam but sepanjang perjalanan sebelum ditahan pihak berkuasa.

Lelaki itu akhirnya disaman atas kesalahan melanggar arahan kerajaan melakukan perjalanan yang tidak penting.