Muhyiddin makin goyah, tawar Umno jawatan TPM namun sudah terlambat

Muhyiddin makin goyah, tawar Umno jawatan TPM namun sudah terlambat

Jika benar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada pemimpin Umno, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyifatkan langkah itu sudah terlambat.

Isham berkata Muhyiddin sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan dirinya dan Bersatu yang sedang “tenggelam dan hampir karam.”

“Saya mendengar ura-ura bahawa Tan Sri Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno.

“Ini untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.

“Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang.

“Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hisham (gambar, atas) jika Presiden Bersatu itu ikhlas untuk menawarkan jawatan tersebut kepada Umno, ia sudah dilakukan sejak awal-awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional lagi.

Apatah lagi apabila jawatan tersebut bakal dijangka disandang untuk tempoh yang singkat.

“Malah untuk satu jawatan ini yang hanya untuk jangkamasa yang pendek, Bersatu pastinya menuntut untuk Umno mengorbankan banyak perkara.

“Ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang-orang Melayu dalam jangka masa sederhana, panjang atau selama-lamanya.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin Umno begitu naif dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan Bersatu ini,” katanya.

Isham turut meramalkan bahawa sekiranya mana-mana pemimpin Umno menerima jawatan timbalan perdana menteri itu, kemungkinan besar ia akan memecahbelahkan parti.

“Sesiapa yang menerima jawatan ini akan dilihat oleh akar umbi sebagai menggadaikan Umno untuk kepentingan diri sendiri.

“Tambahan lagi jawatan timbalan perdana menteri tidak mempunyai banyak kuasa pun untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi pun menunjukkan ianya bukanlah kritikal.

“Oleh itu tidak masuk akal untuk Umno terima jawatan ini sekarang,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563624