Muhyiddin lebih utamakan PATI berbanding rakyat sendiri?

Muhyiddin lebih utamakan PATI berbanding rakyat sendiri?

Cadangan kerajaan mahu memberi pas pekerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggap suatu tindakan yang membelakangkan rakyat tempatan dan tidak efektif.

Pemikir Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, kerajaan perlu mengutamakan rakyat tempatan dalam semua sektor pekerjaan terutama ketika waktu sukar ini.

Beliau secara sinis berkata, tindakan tersebut ibarat pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

“Pengangguran di negara ini sepanjang April sahaja sudah meningkat sebanyak 48.8 peratus iaitu melibatkan seramai 778,800 orang.

“Apakah kerajaan tidak sedar perkara ini. Mengapa sibuk memikirkan PATI sedangkan rakyat sendiri sukar mendapat peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan terdapat permintaan daripada beberapa sektor pekerjaan yang mahu tenaga kerja asing ekoran pekerjaan berkenaan kurang diminati rakyat tempatan.

Mohd Zuhan berkata, kerajaan perlu memikirkan keadaan rakyat terlebih dahulu dan bukan PATI yang memasuki negara ini secara tidak sah.

Katanya, kerajaan tidak perlu berusaha untuk memenuhi permintaan atau kehendak pemain industri yang hanya ingin mendapatkan pekerja asing dengan menawarkan gaji rendah jika dibandingkan dengan rakyat tempatan.

“Sekiranya wujud permintaan daripada mana-mana sektor industri yang memerlukan pekerja asing sepatutnya kerajaan bertegas untuk menawarkan pekerjaan itu kepada rakyat negara ini.

“Rakyat berharap ketegasan kerajaan khususnya dalam pembelaan kebajikan dan nasib mereka bukan dengan membuka peluang pekerjaan kepada warga asing,” ujarnya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/107991/BERITA/Nasional/Ambil-rakyat-tempatan-bekerja-bukan-PATI

COMMENTS