M’sia belajar dari S’pura, ujian skala besar pada warga asing akan dibuat

M’sia belajar dari S’pura, ujian skala besar pada warga asing akan dibuat

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan ujian Covid-19 berskala besar terhadap komuniti warga asing, sebagai sebahagian daripada usaha ujian saringan bersasarnya.

“Kita belajar daripada Singapura…Kita akan mulakan ujian saringan skala besar terhadap pekerja asing kita,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Singapura hari ini mencatatkan 942 kes baru Covid-19, dengan majoritinya melibatkan pekerja asing. Hanya 14 daripada jumlah itu melibatkan warga dan penduduk tetap.

Noor Hisham berkata setakat ini masih belum ada maklumat berkenaan jumlah kes baru di republik itu yang melibatkan warga Malaysia.

Mengulas lanjut berkenaan rancangan ujian saringan massa KKM, beliau berkata kelompok sasaran akan ditentukan berdasarkan faktor seperti kumpulan kluster dan kawasan yang mempunyai banyak jangkitan (hotspot).

Antara kalangan yang disasarkan untuk menjalani ujian itu ialah pelajar tahfiz di seluruh negara.

Menurut Noor Hisham, terdapat 197 sekolah tahfiz dengan 11,045 murid, dengan 8,392 daripada mereka telah pun menjalani ujian.

“Kami menggunakan pendekatan bersasar secara bertumpu. Ujian berdasarkan kawasan dan kumpulan yang disasarkan,” katanya.

Selain pelajar tahfiz, antara kumpulan sasaran lain adalah kluster Tabligh, yang merangkumi 39 hingga 40 peratus jumlah kes positif di Malaysia.

Selain itu, katanya lagi, mereka yang tinggal di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), misalnya Simpang Renggam dan Menara City One Kuala Lumpur, juga akan menjalani ujian itu.

“Secara asasnya, apabila kawasan itu dikenakan PKPD, kita menyasarkan kawasan itu dan buat ujian kepada semua (yang tinggal di sana),” katanya lagi.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/521342