MP PKR bimbang akan kluster baru daripada himpunan sokong penyamun

MP PKR bimbang akan kluster baru daripada himpunan sokong penyamun

Seorang wakil rakyat daripada PKR bimbang akan wujud kluster baru selepas ribuan penyokong Najib Razak berkumpul di perkarangan Mahkamah Jalan Duta hari ini untuk bersolidariti kepada bekas perdana menteri itu.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata, kebimbangannya berikutan himpunan itu tidak dikekang dan dikawal pihak berkuasa.

“Walaupun kenaikan angka kes positif harian masih antara 1 atau 2 digit. Kebimbangan tetap ada terutamanya hari ini kita dengar ada 1 himpunan di mahkamah.

“Kita bimbang berlaku kluster baru akibat daripada 1 perhimpunan yang tidak dikekang dan tidak dikawal,” katanya ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Ibrahim berkata, langkah pencegahan wajib diamalkan dan perlu lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan Covid-19 benar-benar tamat.

“Kita tidak kalah tetapi kita belum menang,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan ribuan penyokong Najib berkumpul di perkarangan Mahkamah Jalan Duta pagi tadi untuk bersolidariti kepada ahli Parlimen Pekan itu yang akan mengetahui nasibnya terhadap pendakwaan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mereka lengkap memakai baju biru dan merah tertulis “bossku” sambil melaungkan “hidup bossku” dan “kita sayang bossku”.

Difahamkan, penyokong yang hadir terdiri daripada akar umbi Barisan Nasional (BN), Umno, MIC dan MCA yang mula berkumpul sejak jam 5 pagi.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/28/wakil-pkr-bimbang-wujud-kluster-baru-daripada-himpunan-sokong-najib/

COMMENTS