MP Klang gesa kerajaan beri bantuan makanan kepada rakyat hilang kerja

MP Klang gesa kerajaan beri bantuan makanan kepada rakyat hilang kerja

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyeru kerajaan menyalurkan bantuan makanan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan rakyat lain yang bergelut untuk menyara hidup mereka sendiri.

Beliau berkata sejumlah besar penduduk di kawasannya, termasuk mereka dari kelas pertengahan, turut serta mendapatkan bantuan makanan. Mereka sama ada diberhentikan kerja atau gaji mereka dipotong, tambahnya.

“Sesetengah mereka yang diberhentikan berusia lingkungan 40-an dan mungkin sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan baru,” katanya kepada FMT.

“Terdapat juga berjuta-juta rakyat Malaysia yang bekerja di sektor informal atau yang bekerja sendiri yang tidak mendapat faedah daripada subsidi gaji dan program pengekalan pekerjaan lain. Mereka juga mungkin tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.”

Santiago berkata beliau bimbang penganggur terlibat mungkin akan lapar.

Jabatan Perangkaan mendedahkan jumlah pengangguran meningkat lebih 600,000 pada Mac, terutama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Santiago berkata, pengedaran bantuan makanan akan menjadi cara yang baik untuk membantu mereka yang kelaparan.

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, bantuan makanan lebih baik berbanding bantuan wang tunai kerana semua orang akan tahu ke mana wang itu akan dibelanjakan dan ini akan mendorong syarikat dan orang ramai menyumbang kepada inisiatif tersebut.

Katanya, bantuan itu harus diedarkan di pasar raya kepada mereka yang namanya ada di dalam pangkalan data yang wujud, seperti yang digunakan bekas pentadbiran Putrajaya dalam pengagihan bantuan tunai e-wallet.

Beliau juga berkata pengagihan bantuan tunai sering ditangguhkan oleh kerenah birokrasi.

“Kita harus melonggarkan birokrasi dan mempermudah orang mengakses dan menebus bantuan makanan.

“Kita harus terus mengandaikan mereka yang menginginkan bantuan makanan sangat memerlukannya. Tidak ada yang mahu mengemis,” katanya.

Beliau berkata bantuan makanan harus berfungsi sebagai langkah jangka pendek untuk membantu mereka yang sedang bergelut dengan kesusahan hidup.

Dari masa ke semasa, tambahnya, kerajaan dapat mengembangkan program baru dan lebih lestari seperti program pemberian pekerjaan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk gelandangan.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR memberitahu FMT bahawa beliau sudah memulakan program seperti itu untuk kawasannya.

“Kami mempunyai senarai kira-kira 1,000 orang miskin dalam pangkalan data kami.

“Kami hanya mempunyai kira-kira RM70,000 dan kami menggunakannya untuk membeli baucar 99 Speedmart. Terdapat banyak kedai 99 Speedmart di kawasan miskin,” katanya.

Wong berkata, rangkaian pasar raya menyumbang baucar percuma bernilai RM1,400 dan sebuah persatuan Buddha juga menyumbang kepada program tersebut.

Beliau berkata kakitangannya menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar baucar kepada keluarga miskin. Keluarga tersebut akan mendapat baucar bernilai antara RM200 hingga RM450 bergantung pada saiz keluarga mereka.

Penggunaan kurier, tambahnya, menyelesaikan masalah logistik dan mencegah pergerakan yang tidak diperlukan.

Berita Penuh:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/14/lebih-600000-hilang-pekerjaan-kerajaan-digesa-sedia-bantuan-makanan/

COMMENTS