Moratorium : Terkilan dengan pengumuman Menteri Kewangan

Moratorium : Terkilan dengan pengumuman Menteri Kewangan

Saya rasa amat terkilan dengan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pagi ini bahawa moratorium pembayaran pinjaman bank tidak akan dilanjutkan selepas 30 September 2020.

Ini merupakan satu tamparan yang amat dasyat kepada rakyat kerana ekonomi negara masih dalam keadaan lemah.

Terbaharu, Bloomberg melaporkan bahawa Ringgit Malaysia merupakan salah satu matawang yang mempunyai prestasi paling buruk di rantau Asia. Tambahan, minggu lepas kerajaan sendiri mengakui bahawa kadar pengangguran negara telah naik dari 5% pada bulan April kepada 5.3% pada bulan Mei.

Angka ini dijangka akan terus naik dan kemungkinan situasi yang lebih parah pada bulan-bulan mendatang, terutamanya di negeri Johor dimana warga Singapura masih tidak dapat masuk ke Johor untuk berbelanja dan dalam masa yang sama, ramai anak Johor hilang pekerjaan di Singapura berikutan penyusutan ekonomi di negara tersebut.

Saya khuatir dengan penamatan moratorium ini, rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 akan menghadapi masalah yang besar untuk menampung kos harian keluarga.

Di samping itu juga, di Malaysia terdapat hampir 907,000 entiti Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Saya berpendapat kebanyakan IKS juga akan menghadapi tekanan kewangan untuk membayar balik pinjaman bank dalam keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya. Sebarang kegagalan pembayaran balik pinjaman akan memberi kesan kepada rantaian perniagaan yang mungkin memaksa syarikat ditutup dan akhirnya terpaksa membuang pekerja.

Justeru, saya harap demi kebajikan rakyat, kerajaan boleh membatalkan keputusan Menteri Kewangan ini dan seterusnya melanjutkan tempoh moratorium ini untuk 6 bulan lagi.

Sepatutnya bukan sahaja moratorium patut dilanjutkan malah kerajaan seharusnya meningkatkan usaha dan tunjukkan komitmen yang lebih bagi memulihkan ekonomi negara.

Terima kasih,

YB JIMMY PUAH WEE TSE
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor
Merangkap,
ADUN Bukit Batu

Sumber :

COMMENTS