Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini tampil menjelaskan visi dan misi dibawah kementeriannya untuk mengangkat martabat Islam dalam era Malaysia baru. Ia dijelaskan dalam tujuh kluster teras strategik yang telah dibentuk bagi menentukan hala tuju pentadbiran agama. Dr Mujahid menjelaskan perkara terbabit dalam Perhimpunan Agensi-Agensi Di bawah Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) yang berlangsung di Auditorium, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Berikut adalah tujuh kluster teras strategik :
Kluster 1 : Perundangan dan Kehakiman
“Memperkasakan Perundangan dan Kehakiman Syariah melalui reformasi berterusan pentadbiran kehakiman, penggubalan undang-undang dan peningkatan profesionalisme hakim-hakim syarie.”
Kluster 2 : Pendidikan dan Pembangunan Insan
“Membina keperibadian Muslim yang holistik dan inklusif di setiap peringkat dan dalam berbagai sektor bagi menyumbang kepada cita-cita membina Malaysia Baharu.”
Kluster 3 : Dakwah dan Media
“Melahirkan medan dakwah yang inovatif dalam menyampaikan mesej Rahmatan Lil Alamin melalui platform media yang pelbagai dengan penyelerasan yang efektif.
Kluster 4 : Sosio Ekonomi
“Memperkasakan ekonomi Islam berteraskan keperluan sosial (social economy) dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan taraf kehidupan.”
Kluster 5 : Pengurusan Haji dan Pensijilan Halal
“Meningkatkan model pengurusan Haji menjadi no 1 di dunia dan meneruskan usaha baikpulih Tabung Haji secara menyeluruh serta mempertingkatkan infrastruktur pensijilan Halal bertaraf dunia.”
Kluster 6 : Pengurusan Masjid
“Transformasi Masjid mengikut acuan R.A.H.M.A.H melalui pengurusan qaryah yang efisyen dan program yang menyumbang kepada melahirkan masyarakat yang aman dan sejahtera.”
Kluster 7 : Penyelidikan dan Budaya Maqasid
“Membangunkan penyelidikan Islam berasaskan nilai-nilai Maqasid dan menyumbangkan hasil kajian merentasi berbagai sektor sehingga dapat melahirkan budaya berfikir Maqasid dalam membuat perancangan dan bertindak.”