Di Malaysia, kebanyakan stesen minyak menawarkan dua jenis gred minyak petrol untuk kenderaan ringan iaitu RON95 dan RON97.
Secara umumnya, kedua-dua jenis minyak ini mempunyai perbezaan dari segi warna dan kandungannya yang mempengaruhi kadar pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan anda.
Walau bagaimanapun, ada yang bertanya-tanya apa yang akan berlaku jika kedua-dua jenis gred minyak itu dicampurkan dalam satu tangki yang sama.
Apa yang akan berlaku jika RON95 dicampurkan dengan RON97?
Ini telah menjadi pertanyaan di kalangan pengguna laman X (Twitter) baru-baru ini.
Adakah kandungan minyak akan berubah dan jika berubah, adakah ia baik untuk kereta atau sebaliknya?
Untuk menjawab persoalan tersebut, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Automotif iaitu Dr Aid Fawzal telah menjelaskan perkara tersebut menerusi penulisan di laman X.
Jurutera simulasi, pakar aliran bendalir dan pemindahan haba itu juga menyatakan bahawa perkara tersebut bukanlah satu masalah yang besar.
Masalah yang timbul hanyalah kos, kerana pembelian RON97 tidak mendapat subsidi dari kerajaan. Jika anda ingin menukar bahan api anda dari RON95 kepada RON 97, kos bahan api untuk kenderaan anda akan meningkat.
Berkenaan dengan kandungan, jika kedua-dua gred bahan api dicampur, campuran tersebut akan menghasilkan nilai RON yang baru.
“Jika RON95 sudah ada dalam tangki dan kita isi dengan RON97, boleh gunakan formula yang saya sediakan untuk mengira nilai RON terbaru,” jelasnya.
“Dalam contoh yang diberikan, katakanlah dalam tangki terdapat 20 peratus RON95. Kemudian kita tambah dengan RON97 selebihnya. Campuran minyak tersebut bukan lagi RON97 tetapi RON96.6,” jelasnya.
Walaupun begitu, Dr. Aid Fawzal menasihatkan orang ramai untuk memeriksa gred minyak yang sesuai untuk kenderaan masing-masing.
Bagi sesiapa yang tidak pasti mengenai gred bahan api yang terbaik untuk kenderaan, anda boleh merujuk pada buku panduan kenderaan anda.
Anda juga boleh melihat maklumat yang tertera pada penutup tangki minyak pada kenderaan anda.
BACA: Netizen terkejut video TikTok hingga RM26,000, lebih baik jadi ‘influencer’ dapat bayaran tinggi