Jika dibandingkan beberapa tahun lalu, segala pesanan makanan diambil oleh pekerja kedai makan.
Namun, kemajuan dan kecanggihan teknologi telah mengubah segalanya apabila pelanggan kini boleh membuat pesanan sendiri melalui sistem Quick Response (QR) di setengah restoran.
Walaupun ia nampak memudahkan, kadang kala ia boleh menyusahkan pengguna terutama jika capaian internet berada pada tahap kurang memuaskan.
Oleh sebab itu, pemilik premis perlu menyediakan kemudahan seperti WiFi bagi menjadi alternatif untuk digunakan oleh pelanggan ketika membuat pesanan.
Namun, berbeza pula dengan pengalaman seorang pengguna Facebook ini apabila sebuah restoran yang dikunjungi tidak membenarkannya menggunakan WiFi ketika mahu membuat pesanan.
Menurut pengguna yang dikenali sebagai Zeeda Aziz, dia telah berkunjung ke satu restoran untuk datang makan bersama keluarganya.
Pesanan makanan perlu dibuat sendiri melalui sistem QR. Namun, kerana capaian internet telefon pintarnya yang kurang memuaskan menyebabkan Zeeda mahu menggunakan kemudahan WiFi di kedai makan berkenaan.
Apa yang mengejutkan adalah respon pekerja restoran berkenaan yang meminta dia perlu membuat pesanan terlebih dahulu sekiranya mahu menggunakan kemudahan itu.
“Dah banyak kali saya terkena. Kalau mood saya tak cantik pada waktu tu, saya akan terus keluar pi cari kedai lain. Tak nak sakit hati lama2.
“Malam tadi, hampir sahaja saya tinggalkan kedai makan ini sebabnya saya tak dapat buka link dari QR Code. Capaian Celcom tak cukup kuat di area tu.
“Sebelum saya give up, saya suruh anak tanyakan apa password untuk kedai ini. Jawapan dari pekerja disitu mengejutkan saya ‘Nak guna WiFi, ORDER DULU’,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Respon yang diberikan oleh pekerja kedai makan itu nyata mengecewakan Zeeda. Bagi wanita itu, premis tersebut sepatutnya menyediakan alternatif lain sekiranya tidak mahu memberi pelanggan meggunakan WiFi apabila membuat pesanan.
“Kalau tak nak bagi customer guna WiFi, jangan lah pakai QR Code tu. Ambil order secara manually. Datang ke meja, ambil order.
“Atau, letak kertas order, pensil dan menu. Nanti dah siap tanda, mai ambik kertas tu.
“Makanan disitu sedap dah. Penyediaan pun tidaklah buat kita tertunggu-tunggu.
“Tapi proses nak membuat pesanan tu menyakitkan hati, ditambah pula dengan ayat ‘Nak WiFi, order dulu’, makin baran dibuatnya,” tulisnya lagi.
Tambahnya lagi, dia telahpun memaklumkan dan memberi teguran mengenai perkara itu kepada pekerja kedai berkenaan namun alasan lain pula yang diberi oleh staf di situ.
Jelas Zeeda, keadaan sebegini sebenarnya boleh menjejaskan imej restoran berkenaan jika mereka tidak membuat perubahan.
“Saya dah pun memaklumkan hal ini pada pekerja disitu. Terpulanglah pada mereka, nak ubah atau tidak. Sekecil-kecil perkara begini, boleh membuatkan pelanggan tak nak datang dua kali.
“Business owners sekalian, kadang tu, tak ada siapa pun sihirkan kedai awak. Cuma awak atau pekerja yang tak mahir membaca riak muka pelanggan yang sedang kecewa.
“Selepas saya tegur hal ni, mereka bagi alasan, internet situ tak kuat pulak. Sebab tulah mereka tak bagi password.
“Dah tau tak kuat, tak payah la guna QR Code,” tulisnya lagi.
Mengintai ruangan komen, kebanyakan pengguna Facebook bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh wanita itu.
Rata-ratanya turut berkongsikan pengalaman sama mengalami kesukaran terutama berkaitan capaian internet apabila premis makanan meminta pelanggan membuat pesanan melalui sistem QR