Mimpi pemimpin Pas dan Balasubramaniam

Mimpi pemimpin Pas dan Balasubramaniam

Perhitungan dalam politik sepatutnya pada kejayaan sesebuah kerajaan memakmurkan negara, memerangi rasuah dan salahguna kuasa, menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi, menjamin kesejahteraan dan keamanan, mempunyai barisan pemimpin yang berintegriti, ketokohan dan idea-idea baru. Itu semua perlu dijadikan ukuran parti politik dalam mendapatkan sokongan rakyat bukannya meraih simpati dan sokongan dengan mimpi jumpa nabi. Orang politik bukan bomoh yg perlu ceritakan hal-hal ghaib menipu pelanggan. Parti politik bukan tarekat tasauf mengikat kepercayaan, kesetiaan dan wala’ murid dengan cerita jumpa nabi secara jaga atau jumpa dalam mimpi. Orang politik ialah orang yang banyak bekerja utk rakyat, agama dan negara bukannya orang yg banyak tidur dan bermimpi.

Al Marhum Tuan Guru Nik Aziz tidak menjadikan mimpi sebagai modal politiknya. Ketokohan beliau dikagumi kawan dan lawan, kesetiaan ahli parti tidak berbelah bahagi dan muslim serta kafir menyayangi beliau. Namun selepas beliau meninggal dunia, modal mimpi ini mula dijaja oleh pemimpin-pemimpin PAS. Ini kerana mereka tiada modal menangkis serangan politik dan mereka juga tiada hujah untuk mengikat wala’ ahli parti. Lalu dijadikan mimpi jumpa nabi atau para sahabat atau orang-orang hebat sebagai ubat mujarab untuk megubati keraguan ahli. Bukan setakat itu ia dapat menambahkan lagi ketaasuban ahli apabila dikaitkan dengan nabi dan agama.

Satu cerita mimpi yg saya fikir ia jelas mahu membodohkan ahli PAS, muslim dan rakyat ialah apabila individu tertinggi dalam hierarki kepimpinan PAS iaitu Mursyidul Am PAS menyatakan Presiden PAS selalu mimpi jumpa Nabi. Apa saja perkara besar Presiden PAS mimpi jumpa Nabi. Dijelaskan satu persatu. Dia pergi ke Tehran dulu pun, ada kaitan dengan arahan (Rasulullah) yang dia dapat melalui mimpi. Cerita mimpi jumpa Nabi ini timbul apabila ramai mempertikai tindakan Presiden PAS pergi ke Iran hadiri muktamar anjuran Syiah. Bahkan Kesatuan Ulamak Dunia juga mempertikai tindakan tersebut. Untuk kembalikan kepercayaan kepada Presiden PAS ditimbulkan kehebatan beliau sering jumpa Nabi. Takkanlah ulamak nak menipu? Walaupun menipu itu sudah menjadi harus dalam PAS…

Semasa Ustaz Nik Omar anak Al Marhum Tuan Guru Nik Aziz mengistiharkan sebagai calon Amanah dalam PRU14 lalu, ia satu tamparan hebat buat PAS Kelantan. Timb Menteri Besar Kelantan dalam mengulas isu ini menceritakan mimpi Presiden PAS berjumpa Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dalam mimpi itu, dia melihat Al Marhum TG ada sebelah kaki sahaja. Orang sekeliling tolak Al Marhum TG sehingga beliau hampir terjatuh. Timb Menteri Besar menafsirkan mimpi itu bahawa kaki yg tiada itu ialah Nik Omar yang bertindak lawan PAS. Mimpi ini boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran namun yang terbaiknya ialah diam dan tidak menceritakan kepada sesiapa. Ini kerana ia mimpi yang tidak baik melibatkan kecacatan kaki Al Marhum Tuan Guru Nik Aziz dan penolakan orang terhadap beliau. Mengikut sunnah Nabi, sesiapa yang bermimpi mimpi yang tidak baik jangan menceritakannya kepada sesiapa. Hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah dari kejahatannya dan dari kejahatan syaitan. Dia juga boleh meludah tiga kali dan jangan menceritakannya kepada sesiapapun, sebab yang demikian tidak akan membahayakannya. (Hadis sohih riawayat Bukhari)

Banyak lagi mimpi yg berlaku dikalangan pimpinan PAS. Bukan setakat jumpa nabi bahkan ada yang jumpa para sahabat dan berpuluh kali jumpa Khalifah Omar dalam mimpi. Kita tinggal dulu mimpi-mimpi mereka. Boleh jadi apabila modal mimpi ini dijaja dan menjadi trend terbaru pemimpin PAS, non muslim Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS N Balasubramaniampun terikut sama. Diapun tak mahu lepaskan peluang membodohkan ahli PAS. Apa yg menarik mimpinya berjumpa Nabi bukan sekali tetapi banyak kali. Sama macam Presiden PAS banyak kali mimpi jumpa Nabi. Yang saya tak boleh tahan nak gelak Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timb. Presiden PAS membenarkannnya. Mimpi jumpa Nabi tak kira bangsa. Nabi tengok orang siapa yang baik. Maknanya En Bala itu lebih baik dari ahli PAS yang tidak pernah bermimpi jumpa Nabi. Yang saya masih tertanya-tanya macamana En Bala kenal Nabi dalam mimpinya? Walaupun individu yg dilihat dalam mimpi itu mengaku dia nabi atau ada orang lain dalam mimpi memberitahu dia adalah nabi ia belum tentu benar. Ini kerana syaitan boleh menyamar dan menipu manusia. Al-Imam Al-Qarafi(w684h/1285m) menyebut mimpi jumpa Nabi itu benar bagi para sahabat yg pernah melihat nabi dan tahu sifatnya. Ia juga benar jika seseorang yg bermimpi itu sentiasa mendengar sifat nabi yg disebut dalam kitab-kitab sehingga tergambar dan terukir gambaran jelas sifat-sifat nabi tersebut.

Walaupun ada individu yang bertambah yakin PAS adalah parti yang benar melalui mimpi pemimpin-pemimpin PAS tetapi saya merasai sebaliknya. Jiwa saya menjadi semakin tawar dan yakin bahawa PAS parti yang perlu saya jauhi kerana ia sedang dipimpin oleh tukang-tukang karut yang mula mengarut dalam berpolitik. Apa yang paling saya takut sikap tassub dan taqdis pemimpin dicampur dengan cerita mimpi pemimpin jumpa Nabi ini berpotensi membawa ahlinya menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar khususnya pengikut yang jahil dan tiada asas akidah yang kukuh.

Tidak mustahil cerita-cerita mimpi jumpa Nabi ini akan diterima menjadi satu hujah dan bukti dikalangan ahli yang jahil. Mereka akan percaya Presiden PAS pergi ke Iran atas arahan Nabi dalam mimpi. En Bala adalah seorang yang mulia kerana mimpi jumpa Nabi, dia perlu dihormati dan kedudukannya tak sama dengan non muslim khususnya DAP yang wajib diperangi. Bahkan kedudukannya lebih mulia dari pimpinan parti Amanah yang menentang PAS. Presiden PAS pula yg selalu jumpa Nabi disamping beliau dianggap suci tidak melakukan dosa dengan sengaja beliau juga individu mulia dekat dengan Allah dan disayangi Nabi. Perbuatan, tindakan dan keputusannya mendapat bimbingan terus dari Nabi melalui mimpi.

Tidak mustahil lahir barisan pengikut yang jahil bersulam taasub menjadikan PAS gerakan ekstrim dan menyeleweng. Mereka berpegang bahawa apa sahaja tindakan PAS adalah benar belaka. Semua yang lawan PAS adalah batil belaka. Apa yg PAS buat halal belaka dan apa yang orang lain buat haram belaka tanpa persetujuan dan restu PAS.

Yang paling ditakuti tidak mustahil lahir gerombolan pentaasub yang jahil berpegang bahawa pemimpin PAS khususnya Presiden PAS mendapat mandat dari mimpi untuk menyusun dan mentadbir semua urusan-urusan dunia dan berkuasa mengeluarkan arahan dan keputusan dalam urusan-urusan politik. Ia dianggap pula suci dari sudut agama kerana mendapat arahan dari Nabi melalui mimpi. Mungkin ia tidak terucap tetapi melalui tindakan-tindakan ia seolah-olah sebegitu.

Juga tidak pelik jika muncul kumpulan ahli dan pengikut yang tassub sampai ke tahap tunduk taat patuh kepada pemimpin, tidak mengingkari dan menolak pendapat mereka walaupun jelas ia salah, rasa gerun dan takut pada mereka. Redha, taat, patuh, takut, gerun dan bergantung kepada mereka boleh merosakkan tauhid kerana setiap muslim perlu takut, gerun, taat, redha, tunduk dan patuh sepenuh hanya kepada Allah ta’ala. Bukan manusia biasa walaupun setinggi mana darjatnya.

Tidak mustahil juga pengikut yang taasub dan jahil percaya bahawa pemimpin PAS ada keberkatan sampai ke tahap menyucikan mereka dari segala keaiban dan dosa, percaya sepenuhnya segala dakwaan mereka berkenaan perkara-perkara ghaib dan tersembunyi termasuk ahli syurga dan neraka. Semua ini juga bercanggah dengan tauhid kerana tiada siapapun yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah ta’ala. Nabi sendiri tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib kecuali apa yang diberitakan Allah kepada baginda.

Apa yang paling dibimbangi ahli dan pentaasub jahil menyembah ulamak pemimpin pemimpin parti mereka sebagaimana firman Allah bermaksud: “Mereka menjadikan orang-orang alimnya, rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan juga mereka mempertuhankan al-Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia”. (At Taubah:31)

Mana mungkin ahli PAS menjadikan pemimpin mereka sebagai Tuhan dan menyembahnya ? Mustahil dan pasti tidak akan berlaku. Namun Rasulullah sollallahualaihiwasallam ada menerangkan maksud ayat tersebut: “Sesungguhnya mereka tidak menyembah pemimpin-pemimpin agama mereka tetapi apabila pemimpin-pemimpin agama mereka menghalalkan yang haram mereka bersama menghalalkannya, apabila pemimpin-pemimpin mereka mengharamkan yang halal mereka bersama mengharamkannya”.

Itulah maksud menjadikan orang-orang alim, rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. Mereka mematuhi orang-orang alim, rahib-rahib mereka dengan membabi buta, biarpun orang-orang alim dan rahib-rahib itu menyuruh membuat maksiat atau mengharamkan yang halal. Ini hanya pandangan saya sahaja. Saya tak kata PAS ajaran sesat. Jangan marah saya. Kalau nak marah elok marahi PM sekarang yang PAS berada di bawah ketiaknya pernah kata PAS ajaran sesat. Begitu juga UMNO yang menjadi parti muafakat PAS.

Wallahua’lam…

Sumber: