Meta hari ini mengumumkan, selari dengan perundangan Kesatuan Eropah baharu,
Mereka akan memberikan pilihan kepada pengguna di Eropah untuk menggunakan Facebook dan Instagram tanpa sebarang iklan.
Walaubagaimanapun, pengguna perlu melakukan langganan berbayar untuk menikmati perkhidmatan berkenaan secara bebas iklan.
Meta menawarkan pelan berbayar ini pada harga €9.99 (RM50) sebulan untuk langganan melalui web, atau €12.99 (RM65) sebulan untuk langganan melalui Android atau iOS.
Langganan ini akan diaktifkan untuk akaun berpaut Facebook dan Instagram, melalui Account Center.
Meta menyatakan harga ini akan kekal sehingga 1 Mac 2024 kelak, dimana selepas itu pengguna akan perlu membayar tambahan €6 (RM30) untuk setiap akaun tambahan yang tersenarai pada Account Center.
Untuk makluman, harga ini adalah berbeza dengan penawaran Meta Verified yang memberikan tanda calit biru pada akaun pengguna.
Pengguna juga turut diberikan pilihan untuk kekal menggunakan perkhidmatan Facebook dan Instagram seperti biasa – termasuk dengan paparan pengiklanan melaluinya.
Tetapi, sekiranya tidak menyukai penggunaan data untuk paparan iklan, maka boleh memilih pelan berbayar, dan menggunakan perkhidmatan berkenaan secara bebas iklan.