Menu kantin sekolah macam restoran makanan barat jual chicken chop dan spaghetti, harganya jadi bualan netizen
BUKAN sahaja menu yang disajikan begitu meriah, malah harganya juga amatlah murah!
Itulah yang dapat disimpulkan daripada perkongsian satu video yang dimuat naik di TikTok, memaparkan menu di sebuah kantin sekolah.
Menerusi video berkenaan, kelihatan kaunter di kantin tersebut dipenuhi dengan pelbagai juadah seperti spageti, sandwich, mi goreng, chicken chop, makaroni, bihun tomyam, bihun sup, nasi ayam, buah potong, kuih muih dan sebagainya.
Turut dinyatakan dalam perkongsian video tersebut, harga semua menu yang dijual juga bermula dengan RM1 hingga RM3.
@cikatyn_ Makcik kantin sekolah ❤️❤️ #fyp ♬ Jiwa Yang Bersedih (Sped Up Version) – Ghea Indrawari
Berkongsi cerita dengan mStar, pengusaha kantin yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin berkata, dia dan sembilan lagi pekerjanya menyediakan sekitar 13 menu setiap hari untuk para pelajar dan warga sekolah Sekolah Menengah Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Setiap pengusaha kantin ni kena ikut garis panduan iaitu tak boleh jual menu sembarangan di sekolah terutama makanan ringan.
@cikatyn_ Membalas kepada @Tice tip ♬ Doaku Untukmu Sayang – Egus Rivilla
“Jadi sebagai pengusaha kantin, saya dan pekerja berbincang untuk mempelbagaikan menu yang berkhasiat dan mengenyangkan. Harga yang ditetapkan untuk setiap makanan bermula daripada RM1.
Makanan dan minuman tersusun dan bersih.
“Paling mahal pun RM3 saja iaitu menu untuk chicken chop, nasi ayam. Kami jual murah-murah saja supaya pelajar dapat makan makanan kegemaran mereka. Bawa RM5 pun dah kenyang,” kata Fatin.
Sudah lapan tahun memegang tender kantin di sekolah berkenaan, Fatin turut berkongsi pelbagai kenangan manis dan lucu yang tidak dapat dilupakannya.
Fatin (kiri) bersama salah seorang pekerjanya.
“Dah lapan tahun, pelajar pun dah mengenali akak dan acik kantin. Paling manis bagi saya, setiap hari semua makanan pasti akan habis terjual.
“Yang kelakar pula, apabila sembang dengan pelajar, ada yang cakap mereka tak sabar tunggu waktu rehat sebab nak makan,” katanya sambil ketawa kecil.
Fatin berkata, dia sekadar memuat naik video di aplikasi TikTok untuk berkongsi rutin harian selain berkongsi menu dengan pengusaha kantin sekolah yang lain.
Paling manis bagi saya, setiap hari semua makanan pasti akan habis terjual.
FATIN
PENGUSAHA KANTIN
“Ada kalanya pengusaha kantin nak cari kelainan dalam menu tapi tak ada idea… jadi saya saja-saja kongsi mana tahu boleh dijadikan rujukan,” katanya lagi.
Tidak menyangka video perkongsiannya menjadi tular, Fatin berkata dia terharu bercampur gembira apabila membaca komen-komen netizen.
komen menu
Fatin gembira kerana perkongsiannya mendapat komen positif daripada netizen.
“Nak tergelak apabila baca komen-komen netizen. Ada yang minta saya jadi acik kantin di sekolah anak mereka… ada yang nak pindahkan anak mereka ke sekolah tempat saya bekerja.
“Ada yang kata nak bersekolah semula. Alhamdulillah saya bersyukur kerana semuanya komen positif.
“Secara tak langsung, ia membangkitkan lagi semangat saya untuk berikan yang terbaik untuk warga sekolah di sini,” akhirinya.