“Mentua sampai gelar aku pengikut dajjal sebab biar suami bantu buat kerja rumah”

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Hasrat seorang wanita asal Borneo untuk menumpang kasih mentua ketika tinggal di Semenanjung tidak kesampaian setelah menerima layanan yang dingin.

Wanita bernama Ziaf itu sekali lagi diuji apabila menghidap gangguan emosi atau meroyan akibat tekanan yang dihadapinya selepas selamat melahirkan anak sulung.

Kesihatan mental Ziaf juga semakin memburuk apabila ibu bapa mentuanya suka masuk campur dalam urusan rumah tangganya termasuk cara mendidik anak-anak.

“Mentua sampai gelar aku pengikut dajjal sebab biar suami bantu buat kerja rumah”

Sudah tidak dapat lagi menahan sabar, berikut perkongsian Ziaf yang cuba untuk mempertahankan rumah tangga mengenangkan kebaikkan suaminya.

“Aku sudah sembilan tahun berkahwin, anak ada tiga. Aku dari Borneo. Mentua aku dari Semenanjung Malaysia. Dari sekolah menengah memang aku dah berdoa agar tak dapat mentua yang jahat macam apa yang jadi dekat mak dulu. Mak aku dahulu pernah kena buli dengan keluarga ayah.

“Berbalik pada cerita aku. Dulu ingatkan mentua ini keluarga alim sebab dari pukul 6 pagi sudah mula cerita tentang keagamaan kat meja makan. Tetapi sebaliknya yang jadi. Sekarang aku menghidap penyakit MDD (Major Depressive Disorder). Doktor syak mungkin nak ke arah bipolar.

“Aku nak cerita benda yang ‘trigger’ penyakit ini. Masa tengah taip ini, aku baru lepas bergaduh besar dengan ibu bapa mentua. Suami sentiasa ada disisi tenangkan aku. Hanya dia sahaja yang aku ada selain anak-anak. Masa lahirkan anak sulung, aku hidap penyakit meroyan yang berpunca daripada mentua.

“Sepanjang berpantang, dia asyik nak marah aku. Aku banyak pendam rasa sedih, tak sangka pula jadi meroyan. Aku ada cuba ambil hati keluarga mertua. Contohnya aku turutkan suruhan mentua untuk makan pedas kononnya sebab masuk dalam keluarga dia. Sudahnya aku sakit perut dan sakit kepala sebab tak tahan.

“Aku dengan migrain lagi, anemia. Tekanan darah aku juga rendah. Banyak benda yang mentua nak aku sesuaikan diri dalam keluarga dia. Sedangkan aku dibesarkan dengan latar belakang yang berbeza. Kemuncaknya bila aku berhenti kerja tetap pada 2017 lalu. Mentua sudah mula tak sukakan aku kerana berhenti kerja kerajaan.

“Aku berhenti sebab nak jaga anak. Lagi-lagi selepas aku lahirkan kembar tak cukup bulan. Doktor pakar kanak-kanak ingatkan aku untuk jaga mereka sebaiknya. Masa mengandungkan mereka, aku ditahan dalam wad selama sebulan. Doktor sahkan aku ada Placenta Previa Type III (kedudukan plasenta atau uri menutupi pintu rahim).

“Tetapi mentua boleh cakap aku dapat ujian sebegitu kerana banyak dosa. Anak sulung pula berubah dalam masa sebulan aku ditahan. Sebab mentua didik mereka secara kasar. Ibu mentua jenis suara nyaring, suka bertempik dan menengking. Sedih sangat anak aku berubah. Usianya baru setahun lebih ketika itu.

“Selepas cuba bersabar bertahun-tahun, aku sudah tidak tahan. Bila aku lawan nak pertahan diri, dia kata aku kurang ajar. Mak bapak ajak aku jadi kurang ajar. Aku dikatakan perempuan jalang yang menggatal dengan anak dia. Arwah kak ipar aku pernah cakap dia ambil masa berbelas tahun nak baik dengan mentua. Ini pula aku.

“Setiap permintaan aku untuk komunikasi dua hala, mereka akan anggap sebagai DERHAKA, KURANG AJAR. Aku tak minta lebih, hanya nak didengari sahaja. Masa aku letak jawatan dahulu pun kakak ipar nak masuk campur. Bila ditegur, aku juga dipersalahkan. Bertahun juga tak baik dengan kakak ipar.

“Mak mertua aku juga suka masuk campur urusan rumah tangga. Kami pula duduk di rumah mentua. Suami aku pun terkejut dengan perangai keluarganya. Aku pernah cuba masak untuk mentua. Tetapi mereka tak pernah sentuh masakan aku. Siap perli lagi sebab aku tak makan pedas.

“Setiap kali aku tolong mop lantai ke, sapu sampah ke, ada sahaja yang tak kena di mata mereka. Bayangkan, baju pun aku siap asingkan. Tetapi ibu mentua tetap nak basuh. Selepas itu, salahkan aku sebab dia sakit lutut, sakit belakang. Kata aku isteri tak guna. Siap canang aku dekat jiran dan anak-anak dia yang lain.

“Ibu dan bapa mentua bergaduh setiap hari. Jadi tempiaskan dapat dekat aku. Ibu mentua akan buat aku pulak. Sedih, sangat sedih. Suami sampai tolak tawaran kerja sebab risau mak dia buat macam-macam dekat aku. Kami berdua tak bekerja, buat perniagaan atas talian. Tetapi ibu bapa dia selalu bandingkan dengan orang luar.

“Bapa mentua boleh dikatakan nak kami jadi jutawan selepas sehari mula meniaga. Suami selalu minta restu dan redha dari mak bapak dia. Tetapi apa jadi? Mereka akan patahkan semangat kami. Katanya kami tidak akan kaya kalau tak kerja kerajaan. Seolah kerja kerajaan adalah punca rezeki paling afdal di dunia.

“Katanya lelaki atau suami wajib kerja di luar, kerja fizikal. Setiap kali kami terangkan tentang perniagaan ini, memang akan bergaduh dengan mentua. Ibu mentua aku pula pernah ‘label’ aku pengikut Dajjal sebab suami banyak tolong dekat rumah. Aku pernah tertekan sangat pada tahun 2018. Jadi macam mayat hidup.

“Aku ingatkan normal sebab perniagaan tengah bermasalah. Tetapi rupanya aku ada gejala kemurungan sebelum doktor sahkan hidap MDD pada tahun 2020. Keluarga mentua tak boleh tengok anak lelaki buat kerja rumah. Kami pun cakaplah yang Nabi pun tolong isteri buat kerja rumah. Tetapi mentua tak dapat terima kenyataan itu.

“Mereka cukup tak suka suami aku suap anak makan, mandikan anak, masak, basuh dan sidai baju. Keluarga mentua semakin bencikan aku. Mereka kata aku penyebab suami jadi macam itu. Aku asyik dihalang untuk bersuara. Jadi aku pertahankan diri dengan lebih agresif. Ibu dan bapa mentua tak suka.

“Sekitar Julai 2020, kami pindah rumah. Sangat bahagia rasanya, aku berikhtiar nak sembuh dengan jumpa psikiatri. Doktor setuju kerana duduk rumah dengan mentua boleh ‘trigger’ aku punya kemurungan. Tetapi bahagia itu sementara sahaja. Tahun lepas mentua suruh kami balik ke rumah itu.

“Bagi janji manis tidak akan masuk campur dalam rumah tangga, akan cakap lembut dengan anak-anak aku. Bila kami pindah, ternyata janji itu palsu. Kemurungan aku semakin teruk. Mula terfikir untuk bunuh diri beberapa kali. Aku tak mampu nak luah dekat mak bapak aku. Suami banyak kali suruh, tetapi aku hanya mampu menangis.

“Kami cari juga duit dengan buat perniagaan sampingan. Tetapi mentua tak pandang pun. Mereka tetap kata aku yang halang suami bekerja. Katanya aku tak bagi suami bersosial dengan adik beradik dan saudara dia. Walhal suami juga ada kemurungan. Sejak dia masih bujang ketika masih tinggal dengan mak bapak.

“Tetapi suami mahu aku sembuh dahulu, baru dia pergi jumpa psikiatri. Dia sampai tiada keyakinan diri nak berhadapan dengan orang sampai aku kena selalu paksa dia untuk kedepan. Kami berniaga, tetapi mentua cakap anak dia duduk sahaja tak nak berusaha. Banyak kali terpaksa terangkan tentang perniagaan atas talian.

“Suami juga tak nak kerja fizikal sebab doktor minta awasi aku. Tetapi bila beritahu pada mentua, mereka salahkan aku. Katanya aku tak beriman, tak berdoa dan asyik bergantung pada perubatan moden. Mereka anggap tekanan mental ini perkara remeh. Aku sampai ajak mertua pergi jumpa doktor psikologi.

“Tetapi mentua macam biasa, sentiasa menidakkan aku. Kalau kamu semua berada di tempat aku, macam mana nak bersabar untuk tidak pertahankan diri? Hari ini, bapa mentua kata aku kaki tipu, fitnah. Aku yakin semua ada hikmah. Sekarang tengah menunggu pertukaran sekolah anak untuk pindah ke kampung aku.

“Tak tahu bagaimana nak hadap mak ayah aku nanti. Mungkin aku hanya mampu menangis sahaja. Tolong beri aku kata-kata semangat. Aku rasa macam mayat hidup sekarang. Setiap hari cuba lawan kemurungan. Berikhtiar cari duit walaupun doktor sahkan aku tak sesuai untuk bekerja.

“Aku juga tak boleh uruskan anak-anak. Tetapi apa boleh buat, kasihankan suami. Aku tak layak ke nak bahagia walau sekejap? Aku tak mampu nak kawal emosi. Taip ini pun sambil menangis. Aku pernah cakap pada suami yang aku rela diceraikan jika itu boleh buat mentua bahagia.

“Aku dah puas menangis. Penat cuba terangkan pada mentua tentang kesihatan mental aku. Sampai aku cakap direct dekat mentua kalau aku masuk neraka, aku akan seret mereka sekali. Kucing aku, semut, dinding, malaikat kiri kanan aku jadi saksi apa aku hadap selama ini. Aku sudah penat, penat sangat.” Luah Ziaf (bukan nama sebenar).

Baca juga:Diugut boikot, Mekdi Malaysia akhirnya dedah siapa pemilik sebenar syarikat ini