Hati wanita manakah yang tidak terluka apabila menyedari kehadiran dirinya sebagai menantu rupanya tidak disenangi oleh insan bergelar mentua.
Meskipun sudah berusaha sehabis baik untuk mengambil hati mentua, wanita yang dikenali sebagai Raihan itu bagaimanapun sering dihambur dengan kata-kata kasar.
Hubungan mereka mula memburuk selepas ibu mentua mendoakan agar suami Raihan mendapatkan jodoh yang lebih baik sejurus sahaja lelaki itu dinaikkan pangkat.
Berikut perkongsian Raihan yang berjuang mempertahankan perkahwinan walaupun dipandang rendah oleh mentua kerana statusnya sebagai suri rumah.
“Ibu kepada suami tidak sukakan saya atas banyak faktor. Bukannya tidak mencuba memperbaiki hubungan, tetapi kata-katanya acapkali melukakan hati yang hampir sembuh. Setiap kali dihambur dengan kata-kata itu, saya tetap bertahan untuk tidak membalas. Tetapi saya percaya Allah itu Maha Adil dan Maha Mendengar.
“Saya ini ibu yang bekerja tetapi berhenti kerana kesihatan anak tidak menentu. Berhenti saya dari kerja bukan dengan poket kosong. Saya mendapat imbuhan yang agak lumayan. Wang itu saya gunakan untuk membantu suami mana yang kurang. Tetapi, saya tidak ceritakan pada sesiapa.
“Saya biarkan sahaja suami terlihat seperti menanggung keseluruhannya. Pernah juga saya hulurkan tawaran untuk kereta baharu tetapi suami menolak. Cukuplah dengan kereta yang ada ujar beliau. Perabot rumah pun saya dapat gantikan selepas lima tahun berkahwin dengan menggunakan wang imbuhan.
“Sofa dan meja makan kami sebelum ini adalah hasil ihsan dari saudara mara. Hidup kami begitulah tidak mewah dan tidak pula susah. Apa yang dihajati, saya ikhlas keluarkan belanja. Setiap tahun, saya akan membuat persiapan raya lebih awal empat bulan seperti beli baju raya untuk anak sikit-sikit.
“Dalam tempoh itu juga saya mengumpul duit raya dan membelikan hadiah untuk keluarga mentua. Tak boleh keluar belanja serentak sebab kekangan bajet. Jadi, kita buat awal. Alhamdulilah, tercapai kerana Allah Maha Baik meskipun saya hamba yang lemah dan hina.
“Ada suatu masa, saya terbaca pesanan Whatsapp ibu mentua kepada suami yang berjela panjang. Antara isi yang menarik perhatian saya ialah kehidupan saya sekeluarga terlihat sederhana dan tidak mewah. Hal ini kerana saya suri rumah yang tidak membantu ekonomi suami.
“Hati saya terluka, sedih dan marah. Tetapi, saya hanya mampu memujuk hati untuk bersabar kerana beliau adalah ibu kepada suami saya. Saya pujuk hati dan tawakal. Bulan yang sama hubungan kami suami isteri dan mentua jadi dingin. Kami juga tidak lagi pulang ke kampung setiap minggu.
“Dalam bulan sama, saya buka tempahan kek dan pesanan makanan. Tempahan kek saya pulun tanpa batasan. Kalau dalam jam tiga pagi pelanggan nak datang ambil pun saya terima. Seronok buat bisnes walau hati saya sedih. Alhamdulillah Allah bagi saya rezeki mendapatkan keuntungan lebih banyak daripada gaji dahulu.
“Tidak mengapa jika saya ni kelihatan tidak berguna dimata mentua. Janji saya seronok ada duit masuk. Walaupun hubungan dengan mentua dingin seperti salju, tetapi setiap hari saya tak pernah lupa doakan mereka dalam lima waktu solat. Semoga Allah beri kesihatan, kebahagiaan yang hakiki dan dijauhkan dari Neraka.
“Lima bulan selepas itu, hubungan kami tetap keruh. Saya masih lagi menantu bukan pilihan yang menyejukkan hati. Memegang title tak hebat dan tiada pekerjaan. Tetapi, Allah Maha Baik. Bulan itu juga suami dapat tawaran naik pangkat dan sambung PHD (pengajian Doktor Falsafah) ke luar negara.
“Jika ikutkan, suami mahu terima keputusan dan terus berhijrah tanpa pengetahuan keluarganya ekoran permasalahan yang panjang ini. Saya pujuk suami untuk maklum kepada keluarganya kerana mungkin rezeki ini adalah hasil doa-doa ibu mentua yang berpanjangan.
“Hari yang dinanti untuk menghubungi ibu mentua itu kami berdua berasa gementar. Khuatir jika panggilan tidak dilayan tetapi Alhamdulillah, ibu mentua jawab. Mereka berborak dan di pertengahan perbualan, ibu sempat menyelitkan kata-kata semoga dengan kenaikan pangkat itu, suami dapat berjumpa dengan jodoh yang lagi sesuai.
“Saya tergamam di sebelah suami. Dia pun hilang kata-kata. Usai perbualan, suami memujuk agar saya abaikan sahaja kata-kata itu. Tapi hati ini tentulah sedih kerana ibu mentua acapkali menolak dan membuang saya. Tak mengapalah, semoga Allah menyembuhkan hati saya daripada luka yang baru ini.
“Saya teruskan kehidupan seperti biasa, sibuk dengan urusan penghijrahan. Dalam pada sibuk, adakala teringat juga kata-kata ibu. Dah tak memasal saya menyimpan wang sebagai persediaan jika suami jumpa jodoh yang lebih sesuai dari saya. Tak sabar nak ikut suami sebab hati tak tertahan nak lari jauh-jauh dari semua ini.
“Bukan ‘jodoh’ yang sesuai, Allah malah mengurniakan sesuatu yang lagi cantik. Dua bulan selepas berpindah ke UK (United Kingdom), saya mengandung anak kedua. Alhamdulillah perjalanan dan pengalaman mengandung yang kedua ini sangatlah harmoni dan aman. Tidak lagi saya memikirkan tentang hal-hal ibu mentua.
“Saya sudah berdamai dengan takdir bahawasanya kita sudah tak boleh melakukan apa pun sekiranya seseorang itu tidak menyukai kita. Saya sendiri ciptakan jarak agar kesihatan mental tetap terjaga. Untuk ibu mentua, saya tidak sepatutnya dikata nista walaupun bergelar suri rumah.
“Saya juga merupakan seorang ibu. Saya percaya bahawa berkata baik dan cermat adalah segalanya. Semua manusia buat silap dan tiada orang yang sempurna. Jika ada perasaan kurang senang, boleh berbincang dahulu berbanding marah tak tentu hala. Kehidupan saya berjalan baik sehinggalah setahun selepas penghijrahan.
“Bapa mentua saya meninggal dunia usai bermain badminton. Harta-harta peninggalan semua habis dijual untuk bekalan ibu meneruskan hidup. Bahkan, kereta yang menjadi lambang status kehidupan juga turut terjual. Saya di sini menemani suami, meniti hari menyaksikan episod kehidupan ibu mentua saya.
“Status beliau kini lebih kurang sahaja seperti saya. Tidak bekerja dan tiada pendapatan bulanan. Tidak sesekali saya berdendam. Tetapi, sakitnya masih terasa. Terlintas di fikiran bahawa kejadian ini berpunca dari doa-doa saya yang terjawab. Mungkin juga fikiran itu mainan syaitan yang mengajak saya ke jalan riak dan takbur.
“Tak kira tua atau muda. Ketahuilah bahawa kata-kata yang menyakitkan hati orang lain boleh menjadi punca doa-doa insan teraniaya diangkat Tuhan. Jika harini kita rasa mulut begitu berkuasa kerana banyaknya wang yang dimiliki, kelak jangan terkejut bila sehela nafas pun tak mampu dihela bila Allah tarik semuanya.
“Peringatan juga untuk diri saya sendiri agar tidak sombong menjadi hamba dan tidak bongkak bila dikurnia nikmat. Saya telah pun pulang ke tanah air membantu suami menguruskan keluarganya. Orang yang dikata tidak berguna ini jugalah membantu kehidupan seharian.
“Pedih untuk dihadam apabila saya akhirnya menjadi berguna dan mula dipandang apabila ibu mentua sudah menjadi susah dan tiada tempat bergantung.” Katanya yang memuat naik hantaran menerusi laman luahan hati di atas talian.
Baca juga: