Menteri tak kuarantin, yang salah pegawai Kementerian Kesihatan – Najib

Menteri tak kuarantin, yang salah pegawai Kementerian Kesihatan – Najib

Najib Razak berkata pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali, yang dikritik dan dikompaun kerana tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara, sudah melakukan kesilapan moral, tetapi percaya kes akan dibuang jika dibawa ke mahkamah.

Terdahulu, polis memaklumkan Jabatan Peguam Negara tidak akan menuduh menteri perusahaan perladangan dan komoditi, memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan, selepas didapati tiada borang arahan kuarantin diberi kepadanya.

“Yang salah pula mungkin pegawai Kementerian Kesihatan yang tidak mengeluarkan arahan kuarantin bagi dia setelah pulang dari luar negara – melainkan Khairuddin sendiri enggan menerima arahan kuarantin dari pegawai KKM,” katanya di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Najib, menyedari rakyat amat tidak puas hati dengan hal Khairuddin itu, mahu beliau dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melanggar arahan kuarantin wajib, sebab difahamkan kementerian atau imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori.

“Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya,” katanya di Facebook pada 7 Okt.

Najib hari ini menjelaskan besar kemungkinan Khairuddin akan didapati tidak bersalah “dari segi undang-undang”, kerana beliau tidak diberi arahan kuarantin dan tidak disuruh untuk memakai gelang pengawasan oleh pihak KKM atau imigresen.

“Khairuddin juga membayar denda kompaun RM1,000 untuk menyelesaikan kesalahan ini. Dari segi undang-undang, Khairudin juga tidak boleh didakwa 2 kali untuk kesalahan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Najib mengandaikan jika ahli Parlimen Kuala Nerus itu didapati bersalah, hakim mungkin akan mengambil kira Khairuddin disahkan negatif Covid-19 dan secara sukarela menderma berbulan-bulan gajinya.

Kementerian Kesihatan pada Ogos mengenakan kompaun RM1,000 ke atas Khairuddin, yang didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) bawah akta sama.

Pemimpin PAS itu pulang dari Turki pada 7 Julai dan beberapa hari selepas itu menyertai sidang Parlimen.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/21/khairuddin-melakukan-kesilapan-moral-tapi-najib-percaya-kes-akan-dibuang/

COMMENTS