Menteri tak kuarantin hadir 12 program, terdedah risiko jangkitan

Menteri tak kuarantin hadir 12 program, terdedah risiko jangkitan

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bimbang seorang menteri yang menghadiri pelbagai majlis selepas pulang dari luar negara tanpa menjalani kuarantin wajib 14 hari, akan menyebarkan virus itu kepada ramai jika beliau dijangkiti Covid-19.

Pemimpin DAP itu menyenaraikan 12 majlis umum sejak 10 hingga 19 Julai lalu yang dihadiri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu tanpa menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Berdasarkan Facebook Khairuddin, beliau mula menghadiri majlis rasmi 3 hari selepas pulang dari Turki. Program pertamanya ialah majlis perasmian kursus asas pembangunan usahawan coklat di Duyong Marina Resort di Terengganu pada 10 Julai.

“Dari 10 hingga 21 Julai, beliau menghadiri 12 program/mesyuarat yang mungkin melibatkan beberapa ribu orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin antara lain turut menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 dan 16 Julai lalu, majlis pelancaran Sijil Minyak Sawit Mampan, sebuah majlis di Jasin, Melaka, konvoi berbasikal di Kuala Nerus, program di Pantai Penarik dan Pulau Duyong di Terengganu.

Kok berkata, Turki mencatatkan 18,608 kes aktif pada 6 Julai lalu, iaitu hari terakhir Khairuddin berada di negara itu.

“Sekiranya beliau dijangkiti Covid-19 dari Turki, maka beliau berkemungkinan menyebarkan virus ini kepada beribu-ribu orang sehingga mungkin wujudnya ‘kluster Khairuddin Takiri’ di Malaysia.

“Saya difahamkan lawatan beliau ke Turki juga diiringi ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan. Apakah mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut SOP kerajaan?” soalnya.

Khairuddin ketika ditemui media di Terengganu malam tadi enggan mengulas lanjut isu beliau tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/20/menteri-tak-dikuarantin-mungkin-jangkiti-ribuan-orang-jika-positif-covid-19-kata-teresa-kok/