Menteri perlu patuh syarat ketat jika nak kuarantin 3 hari

Menteri perlu patuh syarat ketat jika nak kuarantin 3 hari

Jemaah menteri yang mengadakan lawatan rasmi ke luar negara perlu mematuhi syarat ketat bagi mendapatkan pengecualian memendekkan tempoh kuarantin kepada tiga hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jika gagal mematuhi syarat ditetapkan mengikut Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021, mereka perlu melengkapkan tempoh kuarantin selama 10 hari.

Dr Noor Hisham berkata syarat itu termasuk mengemukakan permohonan kepada Kabinet sebelum membuat perjalanan.

“Apabila Kabinet luluskan, kami akan melihat jadual (lawatan), prosedur operasi standard (SOP) dan (perjalanan) untuk urusan rasmi sahaja serta jadual dikemukakan untuk kedua-dua pihak (dari Malaysia dan negara dilawati).

“Kita juga akan melihat kepada aktiviti-aktiviti yang ringkas, padat dan tidak libatkan orang ramai seperti di tempat awam,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemohon juga perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum dan selepas pulang dari lawatan rasmi serta menggunakan pesawat peribadi untuk lawatan berkenaan, manakala penggunaan pesawat komersial tidak akan dipertimbangkan.

“Mereka (jemaah menteri) akan menjalani perintah pemerhatian sekurang-kurangnya tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain. ‘Atau’ itu mungkin tujuh hari, 14 hari atau mungkin dilanjutkan sampai 21 hari,” katanya.

Mengenai lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta, Jumaat lalu, Dr Noor Hisham berkata Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum bertolak pada 3 Feb iaitu sebelum berlepas pada keesokan harinya, sebaik tiba di Jakarta dan pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau juga telah mengeluarkan Perintah Pengawasan Di Rumah (HSO) terhadap Perdana Menteri.

“Ujian calitan juga dijalankan hari ini iaitu hari kelima dan (beliau) akan lengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari, jadi tiga campur tujuh bermakna 10 hari,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jika terdapat perjanjian laluan hijau timbal balik(RGL), ujian saringan tetap akan dilakukan.

“Contohnya dengan negara jiran, ujian calitan tetap dilakukan tetapi tidak perlu jalani kuarantin. Tetapi sekarang ini jemaah menteri mesti dikuarantin minimum tiga hari atau diletakkan di bawah pengawasan sehingga dilepaskan tanpa membahayakan orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Seksyen 29 Akta 342 berkenaan terpakai kepada orang awam, Dr Noor Hisham berkata, ia boleh dipertimbangkan dengan syarat ketat.

“Tempoh kuarantin akan dilanjutkan kepada 10 hingga 14 hari sekiranya negara tersebut berisiko tinggi seperti Afrika Selatan dan sebagainya,” katanya.

Pada Isnin, warta kerajaan persekutuan yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Peguam Negara memberi pengecualian kepada jemaah menteri untuk tidak menjalani kuarantin wajib 10 hari berkuat kuasa pada Selasa sehingga 1 Ogos.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kuarantin-tiga-hari-menteri-perlu-patuh-syarat-ketat-282173