Menteri Agama maklum tiada cadangan laksana RCI TH

Menteri Agama maklum tiada cadangan laksana RCI TH

Kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) jika ada keperluan untuk itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zulkifli Mohamad.

Kata senator itu, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan Tabung Haji.

Zulkifli berkata demikian untuk menjawab soalan Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional bercadang menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat urus niasa Tabung Haji.

Untuk rekod Mujahid merupakan bekas menteri yang menyandang portfolio Zulkifli sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton akhir Feb lalu.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno dan PAS mengecam Mujahid dan menuduh naib presiden Amanah itu melakukan penjualan aset Tabung Haji dan mendesak agar sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat apa yang berlaku.

Sesetengah penyokong Umno dan PAS pula percaya Mujahid menyerahkan Tabung Haji kepada kawalan Lim Guan Eng yang ketika itu menjadi menteri kewangan.

Antara yang lantang menuntut agar RCI ditubuhkan ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini dilantik Najib Razak menjadi timbalan menteri di JPM.

Sedang teliti isu sukuk

PAS juga – melalui setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan – juga pernah mengeluarkan kenyataan mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat Tabung Haji.

Kenyataan bersama Annuar Musa – sebagai setiausaha agung sebelum ini – dibuat pertengahan Feb lalu iaitu beberapa hari sebelum Langkah Sheraton terjadi.

Takiyuddin kini dilantik sebagai menteri di JPM yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang, manakala Annuar diberikan portfolio menteri Wilayah Persekutuan.

Zulkiflli juga berkata Tabung Haji mencatatkan keuntungan selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion setakat 31 Dis 2018, manakala bagi tahun berakhir 31 Dis 2019, badan itu memperoleh keuntungan selepas zakat sebanyak RM1.8 bilion.

“Dan kedua-dua laporan kewangan tahun 2018 dan 2019 masih belum dibentangkan di parlimen seperti dituntut Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980,” katanya.

Zulkifli menambah, bagi tempoh setengah tahun pertama 2020, Tabung Haji mencatat keuntungan sebanyak RM1.2 bilion.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537472

COMMENTS