Anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, iaitu Wan Mohd.
Hibatullah Abu Bakar, mempersoalkan kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN),
Tan Sri Annuar Musa, yang kononnya satu majlis tahlil khas akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham.
Melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook, Wan Mohd. Hibatullah menafikan kewujudan majlis tersebut
dan menegaskan bahawa keluarganya tidak mengetahui mengenai majlis yang disebut oleh Annuar.
Beliau juga menyatakan rasa sedih dengan kenyataan Annuar yang dianggap tidak sensitif terhadap keluarga mereka.
“Bilakah ini berlaku? Sebagai anak sulung Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini. Saya mohon agar simpati terhadap arwah ibu saya tidak dijadikan bahan kempen,” katanya di laman Facebooknya yang menggunakan nama El Patron Wmhibatullah semalam.
Sebelum ini, Annuar melalui laman sosial Facebook mendakwa bahawa majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis maulidur rasul akan diadakan pada 24 September ini dengan kerjasama keluarga arwah.
Menurut Annuar, acara tersebut adalah sebahagian daripada program yang dirancang oleh PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, di mana beliau akan turun bersama beberapa pemimpin PN lain bermula 22 September ini.
Wan Mohd. Hibatullah menjelaskan bahawa keluarganya tetap menyokong Barisan Nasional (BN) dan menghormati kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Beliau juga bertekad untuk meneruskan perjuangan arwah ibunya bersama UMNO dan BN.
Sharifah Azizah meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat pendarahan dalaman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
BACA: Adlin dedah ibunya digelar ‘black widow’, bunyi macam kurang ajar tapi lucu sebenarnya