Menilai cabaran dan harapan untuk demokrasi pasca Covid-19

Menilai cabaran dan harapan untuk demokrasi pasca Covid-19

Pandemik Covid-19 ini telah mengejutkan dunia penghujung tahun 2019 atau tepatnya mulai 31 Disember 2019. Pegawai Kesihatan China telah
memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa wujud sejumlah 41 orang pesakit pneumonia misteri di Wuhan pada ketika itu. Misteri tersebut kemudiannya terungkap pada 7 Januari 2020, dengan China mengenalpasti bahawa punca kepada misteri itu adalah daripada sejenis virus yang kemudiannya diberi nama nCoV, dan penyakit misteri tersebut dinamakan sebagai Covid-19.

Ia kemudiannya berkembang sehingga ke seluruh dunia dan hampir tiada negara yang terkecuali. 31 Januari WHO mengisytiharkannya sebagai Darurat Kesihatan Dunia, dan akhirnya pada 12 Mac 2020 WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik (wabak).

Statistik yang dicerap sehingga 8 Mei 2020 merekodkan pandemik ini telah membantai kurang lebih 3.8 juta orang melibatkan 195 negara dan wilayah, dengan jumlah korban nyawa sebanyak 266,919 orang.

Bukan itu sahaja, pandemik ini juga telah memberi kesan buruk kepada demokrasi dan mencipta masyarakat yang terhad kebebasan mereka sepertimana yang diutarakan oleh Stephen Welt, seorang ahli akademik Universiti Harvard.

Malah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Hak Asasi Manusia, Michele Bachelet telah beberapa kali muncul ke khalayak informasi dunia bagi mengungkap kekhuatiran dan kegusaran mereka darihal kesan pandemik Covid-19 ini kepada hak asasi manusia.

Saya percaya isu ini perlu diberikan perhatian dan diperbincangkan secara meluas bagi memastikan hak dan kemanusiaan manusia itu tidak tenggelam dalam badaian ganas pandemik ini.

Saya juga ingin menarik perhatian teman-teman rakyat Malaysia untuk melihat Krisis Pandemik Covid-19 ini daripada 4 sudut implikasi agar kita dapat melihat apakah cabaran dan harapan yang mungkin dapat kita sandarkan sepanjang dunia dan negara ini mengurus krisis Pandemik Covid19.

MELIHAT CABARAN & HARAPAN DARIPADA 4 SUDUT IMPLIKASI

Implikasi Pandemik Covid-19 Terhadap Hak Asasi Manusia.

Kita ambil maklum bahawa semua tindakan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan, Hospitalisasi bagi mereka yang disahkan positif dengan virus dan Kuarantin Mandatori di rumah adalah berdasarkan autoriti Undang-Undang menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), termasuk di bawah Seksyen 3, 10(1),14, 15(1) dan 15(2).

Ia juga selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan gesaan Majlis Keselamatan Negara.

Justeru, pada dasarnya kita boleh bersetuju dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan. Ia wajar dilihat komitmen bernilai bagi mengimbangi antara kepentingan kolektif dan kepentingan individu. Ia juga tidak berjaya dengan hanya satu pihak yakni kerajaan memperkenalkannya, tetapi wajib disertai tindakan bersama seluruh rakyat Malaysia.

Di samping itu, pendekatan penyekatan Covid-19 oleh kerajaan selari mendokong Hak Asasi Manusia terhadap kesihatan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 25, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 12(1) Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya. Setiap negara mempunyai obligasi untuk melaksanakan tindakan serta langkah penting untuk mencegah, merawat dan mengawal wabak, endemik, penyakit berkaitan dengan pekerjaan serta penyakit lain dan mewujudkan keadaan yang akan menjamin semua perkhidmatan dan perhatian kesihatan dalam hal sakit individu.

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/667990/amp

Walaubagaimana pun, kita harus sentiasa berpegang kepada sekurang-kurangnya 4 iltizam iaitu bahawa :

“Kekuatan Darurat tidak seharusnya dijadikan senjata oleh mana-mana kerajaan bagi mematahkan perbezaan pendapat, mengongkong rakyat dan sekaligus bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam kekuasaan.”

“Kerajaan harus menggunakannya untuk mengatasi pandemik secara berkesan, ia tidak lebih dan tidak kurang!”

“Lokap dan Penjara adalah persekitaran berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mana-mana negara sekalipun harus memberi tumpuan kepada pembebasan sesiapa yang wajar dibebaskan, bukannya menahan lebih banyak orang.”

“Jika undang-undang tidak ditegakkan secara berkesan, bias dan double standard, maka Darurat Kesihatan Awam bila-bila masa sahaja berisiko menjadi bencana hak asasi manusia, dengan kesan negatif yang akan berlanjutan lebih lama berbanding wabak itu sendiri.”

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/682431/amp

Justeru, teramat penting bagi kita memastikan Tiada Pelanggaran Hak Asasi Manusia dengan alasan bahawa kita kini berada pada situasi Luar Kelaziman yakni Darurat, kerana jika ini berlaku, maka ia sesungguhnya berisiko mencetuskan Bencana Hak Asasi Manusia, yang jauh lebih buruk kesannya dalam jangkamasa panjang.

Insiden-insiden seperti keputusan bekalan makanan dan susu anak seperti di kawasan PKPD Flat Taman Murni, Selayang; warga emas tinggal sendiri yang ditemui terdampar di tepi jalan, terpaksa keluar kerana tiada makanan dan kemudiannya meninggal; isu Bakul Makanan kelompok B40 yang terbengkalai dan banyak lagi perlu dijadikan pedoman bahawa hak asasi manusia itu adalah satu perkara yang sangat mudah untuk diabaikan. Belum kita berbicara soal hak asasi mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat bencana pandemik yang membawa kepada PKP, PKPD dan PKPB.

Implikasi Pandemik Covid-19 Terhadap Proses Dan Keadilan Undang-Undang – Merujuk Kepada Kes-Kes Terkait Pendakwaan Ingkar PKP.

Kita mengambil maklum bahawa kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah Gagal Mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan ini membawa kepada :

Hukuman Maksimum Penjara Enam Bulan dan
Denda RM1,000
Atau Kedua-duanya sekali.

Lalu, APA ISUNYA? – “Double Standard” berhubung Tindakan, Layanan, Hukuman kepada para pesalah! Sedangkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa “semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. Malangnya, rakyat kebanyakan tidak menyaksikannya begitu sepanjang tempoh PKP berlangsung. Rakyat sendiri membuat perbandingan. Sekadar menyebut 3 contoh :

Nurul Hidayah Zahid vs B. Lisa Christina

TMK & Exco Pendidikan Perak vs Rakyat

Anuar Musa vs 7 Jemaah Surau Parit Husain, Bagan Serai, dan banyak lagi .

Ironinya, kerajaan dilihat cuba justify (membenarkannya) dengan cara yang jelas salah. Contohnya seperti Respon Menteri Kanan, DS Ismail Sabri yang mengecewakan, dan ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jawapan Menteri Kanan ini pada saya adalah satu percubaan berhelah yang sangat tidak wajar berlaku bahkan satu bentuk penghinaan terhadap mahkamah. Apatah lagi mahkamah telah memberi perincian yang jelas darihal pendakwaan atas Kesalahan INGKAR PKP yang telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Pendidikan Perak.

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/572045/dr-noor-azmi-razman-didenda-ingkar-pkp

Menteri tidak sewajarnya menunjukkan sikap “double standard” begini yang akan menghilangkan hormat dan kepercayaan rakyat terhadap undang-undang, proses undang-undang dan arahan-arahan pihak berkuasa yang berjalan daripada semasa ke semasa.

Semua yang ditahan akan dikenakan tindakan tidak mengira kedudukan

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sesiapa yang ditahan akan dikenakan tindakan tidak mengira kedudukan.Namun, beliau menjelaskan mengapa hukuman terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dan EXCO Perak, Razman Zakaria, berbeza kerana mereka melanggar SOP yang telah dikeluarkan dan bukannya melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Posted by Astro AWANI on Wednesday, April 29, 2020

Adalah suatu yang juga amat malang apabila Menteri akhirnya memilih untuk mengguna pakai dan meminjam “hujah-hujah walaun” yang bertebaran di media sosial ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada wakil media.

Dalam pada usahanya mengulas hal ini sahaja pun, jelas beliau sendiri akhirnya menampakkan kegagalan beliau untuk faham isu-isu yang terkait dengan MCO/ PKP dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Pendidikan Perak tersebut.

Implikasi Pandemik Covid-19 Terhadap Fungsi Dan Peranan Demokrasi Berparlimen.

Kejutan Pandemik Covid-19 ini juga seiring dengan kejutan politik dalam negara. Pada saat Kerajaan PH sedang sibuk mengurus pertahanan negara daripada badaian pandemik, sekumpulan mereka yang rakus telah mengambil kesempatan melakukan Langkah Khianat yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, dipercayai telah dirancang sejak awal dengan menggunakan alasan bahawa kononnya Tun sedang diasak oleh parti-parti komponen PH yang lain untuk menyerahkan jawatan kepada DSAI. Meskipun perencanaan mereka gagal untuk mencetuskan konflik parah dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung pada 21 Februari 2020, malah berakhir dengan cukup santun dan tertib, kelompok-kelompok ini terus usaha menjayakan apa yang mereka idam-idamkan. Pemecatan Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin sebenarnya adalah katalis kepada nekadnya tindakan menjayakan pengkhianatan meruntuhkan kerajaan PH, dan mereka meneruskannya sekalipun perlu meninggalkan Tun sendirian. Anggapan mereka bahawa Tun boleh dirundingkan kemudian. Ternyata, telaan mereka silap.

Kini sedang berlegar Pertanyaan Dan Kegusaran Awam :

Apa yang berlaku sebenarnya, Perikatan Nasional ini apa ?

Mengapa Sidang Parlimen yang dijadualkan asal pada 19 Mac ditangguhkan, dan kemudian dipendekkan hanya sehari?

Adakah ruang demokrasi ini cuba ditutup? Apa yang PN takutkan sangat?

Mengapa tidak hormati hak dan tanggungjawab negeri-negeri?

Mengapa kepimpinan GLC kembali seperti dahulu, teknokrat dipecat dan kemudian diisi dengan Ahli-Ahli Parlimen dan Pemimpin-Pemimpin atasan parti-parti politik PN? Mengapa kleptokrat kembali mengambil tempat?

Jelas, adalah suatu yang teramat malang untuk kita melihat situasi ini benar-benar berlaku di hadapan kita dan dalam negara kita. Malaysia tidak boleh dikenali sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengeksploitasi pandemik Covid-19 untuk mengunci Parlimen bagi mengelakkan pengawasan, semak imbang dan membenarkan penyalahgunaan kuasa secara besar-besaran, kebangkitan kleptokrasi, leluasanya rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia secara meluas.

Beberapa negara termasuk UK, Singapura dan Hungary telah mengambil langkah mengadakan sidang Parlimen, sekaligus segera meluluskan akta khusus berkait Coronavirus. Akta tersebut memperincikan apakah tindakan-tindakan khusus yang boleh diambil kerajaan dalam menangani pandemik ini, bukan sekadar aspek kesihatan, malah sosial, pendidikan dan ekonomi.

Kewujudan akta terkait Coronavirus dilihat boleh membantu mengelakkan berlakunya “blunder”, sepertimana beratur dan berkumpul beramai-ramai untuk mendapatkan kebenaran untuk balik kampung daripada pihak Polis (berlaku pada malam pertama menjelang PKP dikuatkuasakan), membenar kedai gunting rambut beroperasi dan lain-lain tindakan “U-Turn” seperti membabitkan isu moratorium dan ERP Perkeso yang hanya menyusahkan rakyat.

Bukankah lebih baik jika semua hal ini dapat diperbincangkan dengan teratur, bertanggungjawab, hikmah dan fathonah melibatkan semua 222 anggota perwakilan Dewan Rakyat, demi kebaikan negara dan seluruh rakyat jelata? Jangan hanya disebut ia penting, tetapi gagal dibentang dan dibahas secara tuntas di pusat punca kuasa demokrasi iaitu Parlimen dan Dun masing-masing.

Dengan aktiviti komersial sudah mula diizinkan untuk beroperasi semula bermula 4 Mei 2020, maka sewajarnya Parlimen juga bersidang secukupnya bagi membentang, membahas dan meluluskan akta khusus pandemik covid19 dan lain-lain yang juga berkaitan, termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Menghadapi Covid-19.

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya sehingga kini tidak melalui proses semak imbang berkenaan tindakan apa pun yang diputuskannya sejak pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional selama empat bulan! Mereka pada dasarnya akan dapat menggunakan segala sumber pemerintah dan membelanjakan wang rakyat secara bebas.

Berita yang melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta di Kementarian Kesihatan adalah satu contoh menakutkan. Apa sahaja ketirisan, penyelewengan dan ketidakcekapan mengurus pada saat ini akan hanya berisiko membawa kepada bencana kemanusiaan dan kebajikan rakyat di bawah.

https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/82080

YAB TSMY ketika diajukan pertanyaan darihal keabsahan pentadbirannya yang belum dibuktikan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau menepisnya dengan mendakwa bahawa rakyat kini muak dengan “politik”.

Ironinya, apa yang sebenarnya dipertontonkan kepada khalayak rakyat dan seluruh dunia sepanjang kurang lebih 3-4 bulan ini adalah pentadbiran beliau kini sedang berpolitik “bargaining power and support” (tawar menawar kuasa dan sokongan) melalui cara “politik agihan ghanimah”? Maaf, mungkin agak kasar, malangnya itu lah realiti yang sedang berlaku.

Politik era baharu yang hadir bersama PN ini hakikatnya adalah politik undemocratic, memperdagangkan mandat rakyat sesuka hati demi kepentingan survival politik individu-individu tertentu.

Siapa mereka? Mereka ternyata adalah kalangan …

yang dipecat daripada parti;

yang sedang berhadapan pelbagai kes pendakwaan;

yang berpotensi dan sedang menunggu pendakwaan;

kelompok Isti’jal (Islamis gopoh) yang telah sedar bahawa mereka sebenarnya tidak kuat dengan cara bersendirian; dan

oppurtunis-oppurtunis elit politik.

Pada dasarnya, pemerintah PN tidak memiliki mandat rakyat. Benar, urusan pelantikan PM telah selesai melalui satu proses iaitu dilantik oleh KDYMM Yang diPertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Tetapi keyakinan KDYMM itu boleh dibuktikan melalui proses di Parlimen iaitu Usul Undi Tidak Percaya kepada PM yang terlantik.

Proses itu sewajarnya perlu segera diizin mengambil tempat. Ia tidak langsung bertentangan dengan mana-mana peruntukan undang-undang, dan tidak juga boleh wewenangan ditafsirkan sebagai mempersoalkan pelantikan baginda!

Ia adalah satu proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Menafikan dan menghalang proses ini daripada berlaku adalah tindakan sangat khianat, sekaligus merosakkan sistem demokrasi negara ini.

PN ini bukan sahaja tanpa mandat, tanpa rencana atau manifesto bersama, bahkan satu gabungan tidak sah dan saling “mengugut” antara satu sama lain. Bukan lagi rahsia. Kita boleh membacanya setiap hari. Pihak ini tidak puas hati dan akan mengkaji penyertaan dan seumpamanya. Sehari dua dilantik dan senyap lah. Memalukan!

Memahami Demokrasi Berparlimen

Parti pembangkang boleh membentangkan Usul ‘Undi Tidak Percaya’, khususnya apabila kerajaan gagal melaksanakan kewajibannya, atau memerintah dengan cara yang merugikan negara.

Bagi kerajaan pula, biasanya mereka melakukan ‘Undi Percaya’ apabila menghadapi krisis ketidakyakinan rakyat terhadap mandat, dasar belanjawan atau lain-lain dasar mereka. Tujuannya adalah untuk membuktikan dasar pemerintahan mereka mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Merujuk kes terdahulu, Tun Hussein Onn pernah mengadakan Sidang Tergempar Parlimen pada 26 Jan 1976 iaitu sebelas hari selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Ketiga, berikutan kematian Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Hanya selepas Usul Undi Percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri diluluskan oleh Dewan Rakyat barulah Parlimen meneruskan urusan lain termasuk pembukaan Parlimen pada akhir Mac tahun yang sama.

Kaedah ini juga boleh digunapakai oleh pihak Kerajaan dan Parlimen bagi membuktikan Tan Sri Muhyiddin Yaasin mempunyai cukup sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk beliau terus menjalankan tugas sebagai seorang Perdana Menteri. Sepatutnya ini segera dilakukan oleh pentadbirannya. Ambil pantun Melayu sebagai pedoman, “berani kerana benar, takut kerana salah!”.

Dalam konteks Malaysia juga, tidak pernah terjadi parti Pembangkang mengemukakan usul ‘Undi Percaya’ malah ia janggal kerana tidak pernah berlaku.

Justeru, penolakan Usul Percaya yang dibawa oleh YAB Dato’ Seri Shafie Afdal, Ahli Parlimen Semporna adalah bertepatan dengan Peraturan 62(1) Standing Orders yang menetapkan Speaker mempunyai kuasa samada membenarkan atau menolak usul ini.

Speaker lazimnya akan menilai tiga perkara dalam penerimaan usul iaitu sesebuah Usul itu mestilah : i) perkara tertentu, ii) melibatkan kepentingan ramai dan iii) perlu disegerakan.

Menelusuri pengalaman-pengalaman lepas, Usul ‘Undi Tidak Percaya’ telah pernah dibentangkan sebelum ini paling kurang melibatkan 3 peristiwa, iaitu :

Di DUN Sarawak pada tahun 1966 (Tan Sri Stephen Kalong Ningkan),

Di DUN Selangor pada tahun 1976 (Dato’ Harun Idris), dan

Di DUN Kelantan pada tahun 1977 (Dato’ Mohamad Nasir).

Ketiga-tiga Usul Undi Tidak Percaya ini berakhir dengan peletakan jawatan Ketua Menteri (KM) dan Menteri Besar (MB) beserta seluruh anggota pentadbiran kerajaan yang dibentuknya.

Ringkasnya, jika usul ‘Undi Tidak Percaya’ yang dibawa oleh YABhg Tun nanti diizinkan dan menang, ruang dan peluang yang ada kepada Tan Sri Muhyiddin adalah membuktikan sokongan ke atasnya dan menterjemah legitimasi bahawa beliau benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Sekiranya YAB TSMY ternyata gagal membuktikan sokongan, maka kerajaan ada dua pilihan iaitu :

Pertama, Ketua Kerajaan dan Seluruh Kabinet meletakkan jawatan, bermakna kerajaan jatuh, manakala kerajaan baharu akan mengambil alih.

Kedua, KDYMM Yang di-Pertuan Agong membubarkan Dewan supaya sebuah pilihan raya baharu boleh diadakan.

Dalam konteks ini, adalah lebih baik dan lebih adil PH diberikan laluan meneruskan mandatnya memimpin kerajaan jika terbukti PN dan TSMY tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Implikasi Pandemik Covid-19 Terhadap Proses Dan Perjalanan Demokrasi Pilihan Raya.

Menurut saintis politik dari Amerika, Larry Diamond, demokrasi terdiri daripada empat elemen utama iaitu :

Satu sistem politik untuk memilih dan menggantikan kerajaan melalui pilihan raya bebas dan adil ;

Penyertaan aktif orang ramai sebagai warganegara;

Perlindungan hak asasi manusia semua rakyat ; dan

Satu kaedah undang-undang yang mana undang-undang dan prosedur digunakan sama rata terhadap semua rakyat.

Dalam sistem demokrasi, pilihan raya merupakan elemen penting dalam menentukan tahap demokrasi sesebuah negara. Pilihan raya memberikan hak memilih kepada rakyat untuk menentukan parti atau pemimpin yang akan memegang kuasa.

Sepanjang 63 tahun Malaysia merdeka, pilihan raya umum telah dijalankan secara tetap dan konsisten dalam sistem pemerintahannya. Kita mahu ini dijamin dan terus dipraktiskan sekalipun negara berhadapan dengan Krisis Pandemik Covid19.

Gangguan Pemilihan Dan Peluang Inovasi

Pandemik ini secara tidak langsung sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan mengancam usaha meningkatkan proses pemilihan di seluruh dunia.

Amerika Syarikat misalnya telah menangguhkan beberapa pengundian utama Presiden di peringkat negeri, dan para calon telah membatalkan beberapa siri rapat umum dan kempen mereka masing-masing.

Beberapa negara Eropah termasuk Itali, Macedonia Utara, Serbia, Sepanyol, dan Inggeris juga telah menangguhkan pemilihan nasional dan tempatan. Ethiopiah juga dikhabarkan mengambil langkah yang sama.

Dalam beberapa bulan mendatang, pilihan raya dijadualkan di Burundi, Republik Dominika, Pantai Gading, Malawi, Mongolia, dan beberapa tempat lain. Banyak pilihan raya ini juga mungkin bakal ditangguhkan.

Menangguhkan pilihan raya bermaksud rakyat (sekurang-kurangnya sementara) dilucutkan hak mereka untuk memilih pemimpin mereka, pada saat pilihan kepemimpinan itu sangat penting bagi memastikan negara dapat dipimpin oleh mereka yang sepatut dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

 

Dikhuatiri juga akan wujud beberapa pemerintah yang akan menggunakan pandemik ini sebagai dalih untuk menunda pemilihan tanpa batas waktu, atau sampai saat yang lebih sesuai secara politik. Ini menggusarkan.

Dalam beberapa bulan mendatang, sangat penting untuk dunia memantau apakah pemerintah negara-negara yang menunda pemilihan juga akan mengambil tanggungjawab menetapkan jadual yang jelas dan segera memaklumkannya secara berkesan kepada semua pelaku politik yang relevan.

Dari sudut positifnya, saya amat berharap dengan keberadaan pandemik Covid-19 ini akan dapat dimanfaatkan bagi memacu inovasi dalam proses pemilihan dan pemilihan yang memastikan kesiapsiagaan yang lebih besar untuk menghadapi goncangan serta badaian lain pada masa hadapan.

Kemungkinan inovasi merangkumi pilihan pemungutan suara awal dan pilihan suara melalui pos, lebih bergantung pada teknologi pemungutan suara jarak jauh dan pendaftaran pemilih dalam talian. Boleh juga digerakkan pelaburan baru dalam pendidikan pemilih ke arah pendemokrasian politik yang lebih luas, dan Malaysia boleh merencana ke arah itu. Malah, pada saat begini, sangat crucial untuk keadilan media ditegakkan bagi membolehkan kempen secara maya berjalan tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat sepertimana sebelumnya.

Korea Selatan, misalnya, sedang mengambil langkah untuk membolehkan warganya memilih dari rumah atau dari hospital dalam pilihan raya parlimennya yang akan datang.

Walau bagaimanapun, kita juga perlu beringat bahawa perubahan besar dalam sistem, perjalanan, pentadbiran dan proses pilihan raya juga akan menimbulkan komplikasi dan risiko baharu. Justeru, ia memerlukan persiapan yang signifikan.

Pengundian dalam talian mungkin rentan (terdedah) terhadap sebarang tindakan penggodaman dan menimbulkan ketakutan wujudnya pengaruh-pengaruh asing dalam merencana keputusan.

Di negara-negara atau negeri-negeri dan kawasan-kawasan yang berhadapan dengan kemampuan teknologi yang lemah dan capaian yang terhad, pelaksanaan inovasi tertentu mungkin tidak dapat dilaksanakan.

Manakala negara-negara yang telah mempelopori teknologi pilihan raya baharu dan mempunyai capaian terbaik mungkin memiliki pedoman berharga untuk dikongsi dalam hal ini.

Terdapat beberapa contoh negara di luar yang jelas meneruskan pemilihan dan pilihan raya. Saya suka menyarankan agar pihak-pihak bertanggungjawab yang diberi peranan di Malaysia berhubung urusan pilihan raya harus segera mencipta ruang dan terbuka untuk belajar bagi memastikan hak memilih tidak dicabut daripada rakyat dengan alasan pandemik.

Seusai kita menyingkap situasi semasa dunia, kita kembali dalam konteks Malaysia. Terdapat Dua Pilihan Raya terdekat membabitkan PRN 12 Sarawak (yang mana hayat DUN Sarawak adalah sehingga Mei 2021) dan PRK N.23 Chini dalam Parlimen Pekan, Pahang selepas ADUNnya meninggal dunia pada 7 Mei 2020 yang lepas.

Nah, persoalan utama : Apakah langkah ke hadapan kita khususnya kerajaan bagi memastikan proses demokrasi ini dapat terus berlangsung secara demokratik dan pada masa yang sama mengelak daripada ancaman pandemik?

RUMUSAN

Pandemik Covid19 meninggalkan kesan terhadap seluruh kehidupan manusia di seluruh dunia. Pada saat dunia belum menemukan penawarnya, kita perlu terus belajar untuk hidup bersama-sama dengan kewujudan pandemik ini.

Kita harus segera “reshape” dan menyesuaikan diri dengan strategi dan halacara norma baharu tanpa mengorbankan demokrasi.

Kita juga harus peka untuk menepis apa sahaja usaha dan strategi licik mana-mana pihak khususnya elit kuasa, yang berisiko besar untuk membawa negara kepada sebuah pemerintahan autoritarian dengan menggunakan Pandemik Covid-19 sebagai alasan.

Kita harus segera belajar memanfaatkan ruang dan peluang yang tercipta daripada pandemik, untuk akur memasuki dan menjadi sebahagian daripada pemain-pemain utama RI 4.0.

Ke hadapan kita, dan terpakai kepada semua kelompok rakyat bahawa teknologi bukan lagi satu pilihan, tetapi sebaliknya satu keperluan untuk terus hidup dengan norma-norma yang baharu yang hadir bersama badaian pandemik.

Kita bukan sekadar bicara tentang IT (Internet Technology), tetapi juga DT. Dan DT itu bukan lagi tentang “Digital Technology” tetapi merupakan “Data Technology”.

🅰️🅰️🅰️
SEN. HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU

Kuala Lumpur,

COMMENTS