Mengapa Rais dan Radzi dilantik Senator berbanding pelapis Bersatu?

Mengapa Rais dan Radzi dilantik Senator berbanding pelapis Bersatu?

Lima lagi diumumkan dilantik sebagai senator dalam majlis angkat sumpah yang bakal diadakan pada Selasa, 12 Jun ini.

Mereka ialah Dr. Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad, Idris Ahmad, Zahid Md Arip dan Balasubramaniam A/L Nachiapan.

Dr. Rais dan Radzi adalah bekas menteri UMNO, tetapi kedua-duanya telah melompat menyertai Bersatu sebaik saja UMNO hilang kuasa pada PRU14 lalu.

Dr. Rais kini adalah Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, manakala Radzi tidak diketahui apa kedudukannya dalam Bersatu.

Zahid pula adalah Ahli MPT Bersatu dan bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad, sementara Idris adalah Naib Presiden Pas dan Balasubramaniam merupakan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Daripada lima lantikan kali ini, rasanya perlantikan paling tidak wajar ialah melibatkan Dr Rais dan Radzi kerana kedua-duanya sudah dikira “menopause” politik dan peluang tersebut sepatutnya diberikan kepada pelapis muda dalam Bersatu.

Dari segi Zahid, sebagaimana banyak dipaparkan dalam media, beliau ada sumbangannya yang tersendiri kepada Muhyiddin dalam persengketaan Presiden Bersatu itu dalam Tun Mahathir sebelum ini.

Dengan yang demikian, kewajaran memberi jawatan Senator kepadanya tidaklah menghairankan, apalagi untuk dipertikaikan.

Idris dan Balasubramaniam tentunya dilantik sebagai Senator atas pertimbangan membalas jasa Pas yang kini berada dalam PN dan agak kuat mempertahankan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Tetapi, apa asas atau kewajaran melantik Dr. Rais dan Radzi sebagai Senator?

Berbanding melantik Dr Rais dan Radzi yang pernah menikmati pelbagai jawatan dalam kerajaan di era BN, bukankah lebih baik pemimpin muda atau pelapis daripada Bersatu, seperti ramai Ahli MPTnya yang tiada apa-apa nikmat jawatan dalam kerajaan sekarang, diberikan peluang itu?

Asyik yang tua saja diberi jawatan, bila pula golongan pelapis ada peluang untuk belajar menjadi pemimpin masa depan?

Sumber : https://shahbudindotcom.net/2020/06/11/daripada-rais-dan-radzi-yang-sudah-tua-kenapa-tidak-dilantik-ahli-mpt-bersatu-yang-muda-sebagai-senator.html

COMMENTS