Mengandungi unsur batiniah, Perlis isytihar GISBH kumpulan ajaran sesat

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Dalam perkembangan terkini mengenai isu GISB Holdings, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan

Bahawa kepercayaan dan ajaran dalam entiti tersebut mengandungi unsur ajaran sesat, terutamanya dalam aspek batiniah.

Menurut laporan Harian Metro, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyatakan bahawa fatwa ini dikeluarkan

setelah menerima bukti yang meyakinkan bagi menyokong keputusan jawatankuasa tersebut bahawa organisasi ini adalah sesat.

Kumpulan tersebut didapati mengikuti arahan pemimpin atau golongan agama tanpa mempersoalkan, walaupun ajaran tersebut bertentangan dengan prinsip Islam.

Mengandungi unsur batiniah, Perlis isytihar GISBH kumpulan ajaran sesat

“Unsur ajaran batiniah ini juga merupakan kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

“Setelah berbincang, jawatankuasa memutuskan bahawa GISB Holdings Sdn Bhd mengkultuskan pemimpin atau tokoh agama mereka sehingga melampaui batasan, seakan-akan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama dengan Nabi SAW, atau mendakwa mereka mempunyai keajaiban serta mengetahui perkara ghaib, seolah-olah mereka adalah Tuhan. Ini adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

“Kesannya melahirkan ketaksuban melampau, sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama walaupun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jawatankuasa juga menyimpulkan bahawa model ekonomi yang diamalkan oleh GISB Holdings Sdn Bhd bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar.

“Ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mengandungi unsur penindasan dan perhambaan terhadap individu yang terlibat, serta eksploitasi terhadap ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Oleh itu, segala ajaran, aktiviti, dan apa sahaja yang boleh membantu GISB Holdings Sdn Bhd adalah dilarang. Jawatankuasa ini juga mencadangkan agar masyarakat Islam membantu pemulihan ahli GISB Holdings Sdn Bhd yang ingin keluar dari kesesatan ini.

“Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk pemulihan mereka, termasuk pembiayaan pendidikan yang betul,

pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman untuk membebaskan diri dari organisasi ini, serta pembiayaan dakwah untuk pemurnian akidah,” tambahnya.

BACA: Ibu ayah ahli GISBH tak mengaku anak, ini respon Menteri Agama cara penyelesaiannya