Memperkasakan Parti Melalui Teknologi

Mukadimah

Keputusan Parti Amanah Negara (AMANAH) mewujudkan Jabatan Teknologi Maklumat Amanah Nasional yang telah disahkan dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Amanah Nasional bertarikh 9 Januari 2016, membuktikan AMANAH telah meletakkan teknologi sebagai salah satu teras pemerkasaan parti untuk masa hadapan. Perancangan menjadikan AMANAH sebagai “Parti Masa Depan” (“Party of the Future) telah dipasak kukuh di peringkat awal lagi.

Keberadaan melalui Web dan Media Sosial

Bermula dari situ, AMANAH telah memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam gerakerja dan operasinya. Usaha paling awal ialah mewujudkan keberadaan atau “presence” di dunia internet melalui portal dan “websites” rasmi AMANAH di http://amanah.org.my dan http://amanahnegara.my .

`Ini lah pintu masuk untuk ahli-ahli dan rakyat Malaysia serta dunia untuk mengenali AMANAH dan berinteraksi dengan parti, seperti mendapat maklumat dan berita terkini dan memohon keahlian secara “online”.

Amanah juga memanfaatkan saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Google Plus dan Youtube untuk menyebar luaskan maklumat dan berinteraksi dengan lebih ramai ahli-ahli dan rakyat.

Manfaat infrastruktur awan

Keduanya, AMANAH dari awal lagi menggunakan teknologi masa hadapan, iaitu menggunakan infrastruktur Awan (Cloud Infrastructure) yang disediakan oleh Google untuk hos portal dan “websites” rasmi dan juga emel rasmi AMANAH di domain @amanah.org.my.

Emel AMANAH yang menggunakan “platform” Google boleh memberikan alamat-alamat emel dan ruang storan tanpa had (“unlimited”). Banyak lagi servis-servis Google yang boleh dimanfaatkan seperti Kalendar, storan atas talian (Google Drive), konferensi video (Google Hangout), dokumen dan banyak lagi. Ahli-ahli dan kepimpinan parti boleh menggunakan emel rasmi AMANAH untuk berkomunikasi dan berkolaborasi dengan pantas.

Pembangunan aplikasi fokus

Ketiganya, AMANAH juga telah membangunkan aplikasi-aplikasi sendiri khusus untuk pengoperasian dan gerakerja parti. Antara yang terawal ialah sistem pengurusan pilihanraya (Ivoters), sistem keahlian dan Sistem Pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat (Sepakat).

Ivoters telah digunakan di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan umum (PRU14). Untuk memudahkan ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan (Adun), pembangunan aplikasi Sepakat adalah untuk memenuhi keperluan tersebut di mana data dan maklumat interaksi antara rakyat (pengundi) dan Ahli Parlimen/Adun direkodkan untuk rujukan dan analisa masa hadapan.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Timbalannya Datuk Salahuddin Ayub.

Pemilihan kepimpinan AMANAH 2019-2022 melalui Evoting

Pemilihan kepimpinan baharu AMANAH Nasional pada Jumaat malam 6 Disember 2019, sempena Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara, AMANAH telah memanfaatkan pemilihan secara elektronik atas talian atau “evoting”.

Sekali lagi, AMANAH telah memanfaatkan teknologi aplikasi yang dihos di atas prasarana Awan sebagai “Software as a Service” atau SaaS yang membolehkan 822 orang perwakilan Amanah dari serata Malaysia membuat pengundian beramai-ramai secara serentak untuk memilih 27 orang AJK kepimpinan Amanah Nasional bagi sesi 2019-2022 dengan menggunakan telefon pintar masing-masing.

AMANAH telah berjaya menjimatkan masa dan kos jika pemilihan dibuat secara manual, malah pemilihan dilaksanakan dengan lebih selamat, telus dan begitu demokratik di hadapan semua perwakilan dan pemerhati, termasuk akhbar-akhbar utama yang membuat liputan secara langsung. Keputusan dapat diumumkan secara pantas sebaik sahaja pengundian ditutup.

AMANAH DIGITAL – medium masa hadapan

Alhamdulillah, setelah tirai Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara dilabuhkan semalam, AMANAH yang ditubuhkan pada 16 September 2015 kini telah menyiapkan dirinya melangkah ke hadapan memasuki Era Revolusi Industri 4.0.

Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan Revolusi Industri Keempat ini ditandai dengan kemunculan superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak.

Seperti yang termaktub di dalam Ucapan Dasar Presiden AMANAH Mohamad Sabu di Konvensyen dan Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Keewangan baru-baru ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan saling hubungan di seluruh negara dalam mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital.

AMANAH sebenarnya telah bersedia untuk membuat transformasi digital ke atas parti apabila keseluruhan perwakilan AMANAH dari seluruh negara telah membuktikan keupayaan mereka menerima dan menggunakan teknologi sejak dari awal penubuhan pada tahun 2015, sehinggalah pada pemilihan kepimpinan baru untuk mendepani dan mengharungi sesi seterusnya 2019-2022.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/amanah-digital-memperkasakan-parti-melalui-teknologi/#more