Melatah buat apa, isytihar sahajalah harta tu – Sheikh Omar

Melatah buat apa, isytihar sahajalah harta tu – Sheikh Omar

Selepas menerima kecaman kerana membangkitkan isu pengisytiharan harta di kalangan kabinet Perikatan Nasional (PN) ketika krisis Covid-19,

Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pihak yang tidak bersetuju tidak perlu melatah dalam isu pengisytiharan harta di kalangan kabinet yang dibangkitkannya.

Menurutnya, persoalannya itu bukan sesuka hati dibangkiktan tanpa sebarang asas kerana ia telah diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Soalan saya mudah. Kabinet Perikatan Nasional (PN) sudah isytihar harta atau belum. Sudah atau belum? Tak perlu melatah. Tak perlu pusing ‘ke sana ke sini, ke sana ke sini’ bak kata YAB perdana menteri.

“Adapun usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama baik kerajaan, pembangkang mahupun seluruh rakyat Malaysia di pelbagai lapangan. Insya-Allah tiada siapa akan terhilang fokus.

“Tidak perlulah kita mendabik dada seolah-olah hanya kita seorang sahaja yang sedang berbakti membantu mereka yang memerlukan diluar sana,” katanya dalam satu kenyataan, sambil mengingatkan supaya PN tidak bersikap angkuh.

Sheikh Umar membangkitkan bahawa pada 12 April genap sebulan tarikh pengumuman Muhyiddin berkenaan arahan pengisytiharaan harta anggota kabinet PN kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana menteri memberikan tempoh sebulan kepada jemaah menteri berbuat demikian.

Ia kemudian dikritik pelakon dan pelawak, Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie yang menyifatkan Adun Paloh tidak sensitif dengan kebajikan rakyat dan mengutamakan politik ketika negara berjuang mengekang penularan Covid-19.

Dalam kenyataaan hari ini, Sheikh Umar yang juga bekas exco negeri berkata soalan dibangkitkannya amat mudah.

“Berbalik kepada persoalan saya, adalah amat naif sekali jika kerajaan hari ini menjadi hilang fokus semata-mata kerana hendak menjawab persoalan ‘sudah’ atau ‘belum’ yang saya lontarkan.

“Sekarang sudah satu bulan berlalu. Jadi, soalan ini saya ajukan. Jika bertanya soalan semudah ini pun tidak mampu dijawab, malang sekali,” katanya.