Maszlee mahu masyarakat kongsi kisah kejayaan guru

Maszlee-Malik-bernama2
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mahu masyarakat berkongsi kisah kejayaan mengenai guru yang mereka kenali supaya menjadi inspirasi kepada warga pendidik yang lain.

Merujuk kepada ‘Geeta Rani’, watak seorang guru besar tegas dalam filem Tamil dari India, Raatchasi, beliau percaya ada ramai ‘Geeta Rani’ di negara ini.

“Kita mahu berikan penghargaan kepada ‘adiwira’ ini. Ramai lagi hero ini yang tak didendang, jadi kita minta ibu bapa atau murid yang tahu pengetua, guru besar atau guru yang hebat ini agar berkongsi mengenai mereka dengan KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi tayangan khas filem ‘Raatchasi’ bersama penerbit dan pengarah filem itu di sebuah pusat membeli-belah di Puchong, dekat sini hari ini yang turut dihadiri lebih 100 guru, pengetua, guru besar dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah di sekitar Lembah Klang.

Raatchasi arahan S. Gowthamraj mengisahkan seorang guru besar wanita yang tegas dan berani. Geeta Rani lakonan Jyotika berdepan pelbagai cabaran dalam membawa perubahan di sebuah sekolah yang daif dan sikap culas guru yang mengajar di sekolah berkenaan.

Ketegasan itu akhirnya membawa kejayaan apabila semua murid sekolah berjaya dan cemerlang dalam sukan dan peperiksaan penting dengan bantuan guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Maszlee berkata aspirasi yang dibawa oleh Geeta Rani boleh diaplikasikan dalam senario pendidikan negara seperti menjadikan sekolah bukan hanya medium untuk mendidik tetapi juga sebagai sesuatu yang dimiliki masyarakat dan memulangkannya semula kepada masyarakat.

“Begitu juga kita lihat cikgu Geeta makan bersama anak muridnya, saya juga menggalakkan ini dilakukan oleh guru kita, apatah lagi kita akan mulakan program sarapan percuma untuk murid mulai tahun hadapan,” katanya.

Filem itu juga memaparkan isu sebenar yang berlaku dalam masyarakat seperti keciciran murid, di mana Geeta telah mengambil pendekatan melaksanakan ‘sifar keciciran’ murid yang boleh dijadikan inspirasi guru negara ini.

Tegas Maszlee dalam membawa perubahan itu, guru memerlukan sokongan dari semua anggota masyarakat termasuk ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai berkaitan dalam mewujudkan masyarakat terpelajar, berdisipilin serta berminda sivik.

Dalam pada itu, KPM juga merancang untuk mengembalikan TV Pendidikan tetapi dengan konsep digital moden seperti Netflix mulai tahun hadapan.

Sebelum ini produksi filem Raatchasi dari India dilaporkan menzahirkan penghargaan kepada Maszlee di atas sokongan yang diberikannya terhadap filem itu.

Syarikat berkenaan menyertakan lampiran surat dua halaman yang ditujukan khas buat Maszlee yang memuji jalan cerita filem itu dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara.

Malah Jyotika turut menzahirkan penghargaan kepada Maszlee melalui akaun Twitter suaminya.

BERNAMA