Masyi dakwa dapat ‘hint’ sebelum kemalangan macam Final Destination.
MENDAPAT firasat seolah-olah bakal berlalu kejadian buruk merupakan satu perkara tidak dijangka Masitah Mohd Afandy.
Kisah yang dilalui usahawan berusia 32 tahun ini umpama filem Final Destinantion yang mana watak utamanya mempunyai kelebihan untuk melihat kemalangan yang akan menimpa keluarga atau orang terdekat.
Itulah yang dialaminya sebelum benar-benar berlaku kemalangan sehingga menyebabkan dia hilang kedua-dua belah penglihatan.
“Saya nampak satu vision (imbasan), macam Allah bagi satu alamat… pada masa tu tengah buat kerja dalam office.
“Masa tu sekali imbas, nampak saya kemalangan dalam kenderaan berwarna putih,” ceritanya kepada mStar.
Imbasan yang melintasu fikirannya itu membuatkan dia tertanya-tanya apakah maksudnya kerana ketika itu dia dalam keadaan sedar.
“Tak tahu macam mana Allah rezekikan saya dapat melihat… saya naik kereta warna putih sedangkan kereta yang dimiliki hanyalah berwarna merah,” luahnya menceritakan imbasan yang dilihat dua minggu sebelum kemalangan.
Susulan pengalaman itu, dia menceritakan perkara tersebut kepada suami serta pengurus pemasarannya, Nazif Mohammad (Zif).
Namun jawapan yang diterima pastinya untuk menyedapkan hati dan bagi mengelakkan dia berfikiran negatif.
“Saya cakap kat dia ‘Zif, saya rasa saya nak kemalangan ni… naik kereta warna putih’. Tapi dia cakap saya mengarut.
“Biasalah penerimaan pertama,” luahnya yang kemudian terus ‘dihantui’ imbasan kemalangan tersebut.
Tidak dinafikan imbasan seumpama itu akan membuatkan sesiapa sahaja berasa takut dan waspada justeru wanita yang lebih mesra dipanggil Mashy ini berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada menaiki kenderaan berwarna putih.
“Saya dan Nazif mula elakkan diri naik kereta warna putih.
“Bila saya cakap dengan suami, dia cakap ‘biasalah, tak ada apa-apa… jangan cakap bukan-bukan’,” tambahnya.
Namun siapa sangka, pada hari kemalangan yang mengakibatkan deria penglihatannya hilang, dia terlupa tentang imbasan yang dilihat beberapa kali itu.
“Tapi hakikatnya pada hari kejadian kita terlupa dan naik kereta warna putih,” jelasnya yang terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya dirempuh lori 15 tan di Kilometer 193.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah, Selatan. pada 21 Mac lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Mashy yang dalam perjalanan dari Sabak Bernam untuk pulang ke Johor Bahru, cedera parah manakala salah seorang pekerjanya, Muhammad Quzaimi Izzaudin Mahmod meninggal dunia.
Meskipun diduga dengan kehilangan deria penglihatan, Mashy tetap menzahirkan rasa syukur kerana suaminya, Nik Nazri Abidin, 36, sentiasa berada di sisi serta menerima kekurangan dirinya.
Malah, dia juga begitu positif menerima ujian ini seperti mana yang dapat dilihat dalam video tularnya.
RINDU MENATAP WAJAH SUAMI
44 hari selepas berdepan kemalangan yang dahsyat, Mashy mula belajar menulis kembali.
Satu perkara yang menjadi kerinduan wanita itu ialah tidak dapat menatap wajah suami tercinta lagi.
“Saya paling rindu nak tengok muka husband. Setiap pagi saya buk mata akan tercari-cari muka suami dan masih tidak berpeluang untuk tengok lagi.
“But I believe one day insya-ALLAH dengan izin-NYA saya boleh menatap kembali wajah suami. Jika tidak di dunia, di sana (akhirat) nanti.
BACA: Tong gas ada besi tambahan terdapat unsur penipuan, betul ke? Lelaki ini dedah sebab sebenar