Masjid beri RM150 untuk jemaah bersolat tarawih jadi tumpuan orang ramai

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Sebuah masjid menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari jauh untuk menunaikan solat tarawih demi mendapatkan sumbangan wang sebanyak RM150, lapor portal berita Okezone semalam.

Wang tersebut disumbangkan oleh seorang ahli perniagaan di daerah Gondanglegi.

Pengumuman mengenai sumbangan itu disebarkan menerusi mesej berantai yang viral di media sosial.

Masjid beri RM150 untuk jemaah bersolat tarawih jadi tumpuan orang ramai

Ia menyatakan bahawa setiap jemaah yang menunaikan solat tarawih di Masjid Jami’ Al-Ilyas, Kampung Penjalinan, akan menerima wang 50,000 rupiah.

Berikutan itu, orang ramai termasuk penduduk tempatan dan yang tinggal jauh berbondong-bondong ke masjid tersebut minggu lalu.

Menurut seorang jemaah bernama Muhammad Syafi’i, dia sanggup menempuh perjalanan selama sejam dari rumahnya untuk ke masjid tersebut.

“Saya tiba sebelum maghrib untuk memastikan kami mendapat tempat duduk di dalam masjid. Alhamdulillah, saya, isteri, dan anak-anak dapat menunaikan solat di dalam masjid,” katanya.

Tambah Muhammad Syafi’i, ramai orang datang ke masjid tersebut bahkan ada yang datang secara berkumpulan menggunakan lori.

Berdasarkan video yang viral di media sosial, orang ramai dilihat menunaikan solat di luar masjid termasuk di halaman rumah penduduk tempatan dan di tepi jalan.

Kerana itu, beberapa jalan berhampiran masjid mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk minggu lalu.

Tambah Muhammad Syafi’i, dia dan keluarganya telah menunaikan solat di masjid tersebut sejak Rabu lalu dan menjelang malam Khamis, sumbangan yang dijanjikan sudah tidak lagi diberikan.

“Maklumat awal yang saya dapat adalah sumbangan itu akan diberikan sepanjang bulan Ramadan. Tetapi semalam (minggu lalu), ia sudah tidak diberikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia tidak berasa kecewa kerana telah mencapai hasrat untuk pergi ke Gondanglegi bersama keluarganya.

BACA: “Privasi aku 4 beranak kena ragut macam tu je, nak jadi isteri solehah kononnya masa tu tapi sekarang benda ni la yang makan diri aku”