Masih ramai pemandu teksi tak terima bantuan RM600, dakwa persatuan

Masih ramai pemandu teksi tak terima bantuan RM600, dakwa persatuan

Beberapa persatuan teksi mendakwa masih ramai pemandu teksi tidak menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM600 yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac yang lalu.

Ini di sebalik kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam yang mengatakan sekitar 25,000 (atau 86 peratus) pemandu teksi dari seluruh negara telah menerima bantuan yang mula dibayar 1 April lalu.

“Kami bukan menafikan kenyataan menteri. Tapi, bila kami periksa, banyak ahli pertubuhan kami masih tidak terima.

“Daripada 200 pemandu teksi yang merupakan anggota dalam pertubuhan kami, hanya 11 sahaja menerima bantuan RM600 setakat ini,” kata C Chandrasekar Ghanthi, Presiden Pertubuhan Teksi India Kumpulan Juara Lima Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau mendakwa terdapat lebih 60,000 pemandu teksi di seluruh negara dan mereka terjejas sumber pendapatan sejak sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan (PKP) lagi.

Semalam, Tengku Zafrul berkata seramai 25,000 pemandu teksi telah menerima bantuan berkenaan, selain pemandu pelancong dan penarik beca.

Angka itu berdasarkan laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilaporkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sementara itu, Thomas Ramachandran (gambar bawah) seorang pemandu teksi dari kawasan Sentul juga menyangkal data yang diberikan Laksana.

“Saya sangat pasti bahawa jumlah pemandu teksi di Malaysia tidak kurang daripada 60,000. Jadi, saya hairan dari mana mereka (Laksana) dapat data ini,” katanya.

Dihubungi kemudian, Yang DiPertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain mengesahkan terdapat lebih 60,000 pemandu teksi di Malaysia.

Ini kerana menurutnya kebanyakan pemandu teksi tidak memperbaharui kad pemandu teksi akibat rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan e-hailing oleh kerajaan terdahulu.

“Data oleh kementerian kewangan adalah dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang cuma ada 30,000 pemandu teksi di Malaysia.

“Kami terima banyak panggilan dari luar bandar, contohnya di Kelantan. Ramai pemandu teksi tidak memperbaharui kad pemandu. Mereka kecewa dengan kerajaan dahulu gagal melaksanakan peraturan e-hailing.

“Mereka masih mempunyai lesen dan permit yang sah walaupun masih tidak ada kad pemandu tetapi telah dipinggirkan dari bantuan kerajaan,” katanya.

GTSM adalah gabungan merangkumi 397 persatuan pemandu teksi seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, Persatuan Teksi Lembah Pantai menolak pendapat bahawa ramai pemandu teksi tidak menerima bantuan tersebutg disebabkan tidak memperbaharui kad pemandu mereka.

“Dalam kes saya sendiri, tempoh kad pemandu saya tamat pada 18 Mac dan saya tidak memperbaharui kerana PKP. Adakah saya tidak layak?” soal setiausahanya, Md Isam.

Sementara itu, seorang pemandu teksi dari Kepong, Prem Nasir Kassim (gambar atas)  juga menyifatkan alasan itu sebagai tidak munasabah.

“Dalam pertubuhan kami, daripada 200 pemandu teksi cuma 35 sahaja tidak memperbaharui kad pemandu teksi.

“Daripada baki 165 pemandu yang mempunyai kad pemandu teksi, cuma 11 orang sahaja yang dapat (bantuan).

“Itu pun semua yang dapat adalah pemegang akaun BSN,” katanya yang juga setiausaha Pertubuhan Pemandu Teksi India Juara Lima Kuala Lumpur dan Selangor.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/520810