Masalah air : Kerajaan Pas Kelantan lemah dan gagal

Masalah air : Kerajaan Pas Kelantan lemah dan gagal

Akhirnya PAS mengakui bahawa kerajaan Kelantan telah gagal menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan sejak berpuluh tahun dahulu. Ini dinyatakan melalui kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kementeriannya berusaha menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air di Kelantan secara holistik.

Beliau mengakui, Kementeriannya memohon peruntukan sebanyak RM 7.3 bilion yang dikatakan mampu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu akan selesai dalam 30-40 tahun lagi kerana kosnya yang besar. Beliau menyatakan bahawa masalah tu akan diselesaikan secara berperingkat menerusi projek tebatan banjir, penggantian saluran paip baru dan menaik taraf loji air sedia ada. KASA dikatakan akan memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan ia dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Mujurlah kerana rungutan, teguran, kritikan dan kutukan rakyat saban hari mengenai masalah air di Kelantan, maka usaha penyelesaian segera dibuat. Kalaulah rakyat tidak membangkitkan isu ini, mungkin kerajaan akan terus memekakkan telinga dan membutakan mata daripada melihat persoalan asas yang membelenggu rakyat. Maklumlah, itu masalah rakyat, bukan masalah pemimpin mereka. Pun begitu, persoalan besarnya adalah, mengapa sehingga 40 tahun untuk selesaikan masalah asas itu. Bayangkan, selama 40 tahun lagi rakyat terpaksa menderita untuk mendapat bekalan air yang bersih, itupun kalau rakyat sempat hidup lagi dan PAS masih memerintah Kelantan.

Tidak diketahui adakah kenyataan itu ikhlas dari YB Datuk Tuan Ibrahim atau sekadar kenyataan penyedap mulut bagi menutup kritikan rakyat bahawa kerajaan Kelantan gagal menyelesaikan masalah itu. Atau mungkin sekadar menarik perhatian rakyat supaya kekal memilihnya sebagai Ahli Parlimen dan sekaligus menjadi Menteri dalam keadaan senario politik tanah air yang dalam kelam dan seperti dekat benar dengan Pilihanraya Umum mengejut (snap Election) pada bila-bila masa.

Di sebalik kenyataan Menteri KASA itu, PAS kini mengakui bahawa kerajaan Kelantan telah gagal dan terlalu lemah untuk menyelesaikan masalah asas buat rakyat di negeri itu. Ini yang dinafikan oleh para pemimpin kerajaan Kelantan dengan berselindung bahawa Kelantan maju dan setanding dengan negeri-negeri yang lain. Sibuk dikhabarkan bahawa Kelantan hebat dengan bangunan megah pencakar langit, banyak kawasan industri baru dibuka, pelancongan semakin ramai dan rakyatnya semakin kaya. Namun semua ini hanyalah indah khabar dari rupa.

Hakikatnya kerajaan PAS Kelantan tidak prihatin terhadap masalah rakyat. Peruntukan sebanyak RM 400 juta yang diberikan oleh kerajaan PH akhir tahun lepas sepatutnya menyelesaikan keperluan asas yang perlu. Malangnya, mereka membeli membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan exco dengan kos RM3.5 juta keseluruhannya. Bagaimana rakyat boleh membayangkan nilai kereta Menteri Besarnya sebanyak RM320,000 manakala bagi exco dan barisan kepemimpinan yang lain adalah RM200,000. Habuan untuk rakyat hanyalah air kotor, berkarat dan keruh.

Cuba bayangkan, bekalan air adalah sebahagian daripada keperluan asas manusia, dan kalau bekalan air bersih tidak mampu diberikan dengan sempurna, bagaimana dengan keperluan asas yang lain. Apakah soal memberi bekalan air yang bersih dan menyelesaikan masalah banjir bukan sebahagian dari agenda Islam yang diperjuangkan oleh kerajaan PAS, atau PAS sekadar hanya tahu bertakbir dan berani mengutuk mereka yang tidak sekepala dengan mereka dengan dalil-dalil yang menakutkan? Apakah pentadbiran yang cekap, sistematik, pengurusan yang mapan dan maju – dengan negeri yang bersih, kemas dan indah itu bukan dari kehendak Islam.

Anehnya, mengapa dalam soal yang paling asas ini tidak pernah difikirkan dan diberi keutamaan sejak PAS memerintah kerajaan Kelantan dari tahun 1990 – 2020 (sehingga sekarang). Kerajaan Kelantan terlalu miskin untuk berbelanja bagi memperbaiki taraf hidup rakyatnya atau kerajaan terlalu kedekut bagi menyalurkan saluran paip yang baik dan bersih kepada rakyat? Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dikatakan dapat memberi satu cadangan solusi jangka panjang terhadap masalah air Kelantan, hanya dalam 5 bulan kerajaan ini memerintah negara, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan oleh mereka selama 30 tahun selama ini. Sesusah itukah untuk mengeluarkan cadangan dan penyelesaian oleh kerajaan Kelantan.

Jika mereka beralasan Kelantan dinafikan hak atau dianaktirikan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu, pemimpin BN itu juga yang sebahagiannya sedang memerintah negara sekarang. Mengapa baru hari ini mendapat kepercayaan pula oleh pemimpin BN untuk dibantu, sedang dahulu dinafikan oleh kerajaan BN bertahun-tahun lamanya? Jujurkah itu namanya atau sekadar kerana jalinan persahabatan rapuh atas nama politik. Jika satu hari nanti, PAS berpisah pula dengan UMNO, apakah kerajaan PAS Kelantan masih dapat peruntukan yang sama untuk selesaikan masalah air dan banjir atau terus dibuang jauh dari peta negara Malaysia? Mungkin rakyat sekali lagi menjadi mangsa percaturan politik dendam dan kebencian para pemimpin elit negeri dan negara.

*YB MOHD FAKRULRAZI BIN MOHD MOKHTAR*
*AHLI DEWAN NEGERI MERU, SELANGOR*

Sumber :