Masa belum beli nampak cantik je TV di kedai, ini sebab apa bila bawa balik jadi malap

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Gedung perkakas rumah sering menawarkan pelbagai pilihan televisyen berdefinisi tinggi yang dipamerkan dengan siaran yang sangat jelas, memukau pandangan sesiapa yang melihatnya.

Namun, banyak pembeli merasa kecewa apabila televisyen yang dibeli tidak mencapai kualiti yang sama seperti di kedai.

Seorang penyunting video dikenali sebagai Troy berkongsi penjelasan mengenai perkara ini melalui hantaran di Internet.

“Di kedai, jurujual biasanya akan menayangkan video ulangan daripada komputer berkapasiti tinggi. Video ini disunting khusus dengan resolusi 4K,

kadar bit yang tinggi, serta dilengkapi dengan high dynamic range (HDR) dan Dolby Vision. Jauh berbeza daripada penggunaan biasa di rumah.

Masa belum beli nampak cantik je TV di kedai, ini sebab apa bila bawa balik jadi malap

“Jurujual juga akan meningkatkan kecerahan televisyen ke tahap maksimum, menjadikan warnanya lebih menyerlah. Sekilas pandang memang menarik, tetapi jika ditonton lama-lama, mata boleh jadi berair dan penat.

“Ini semua adalah teknik untuk membuat televisyen kelihatan lebih menarik dan memikat pengunjung untuk membeli,” jelas Troy.

Sementara itu, seorang juruteknik dikenali sebagai Abang Elektrik turut memberikan petua di laman TikTok.

“Di kedai, televisyen biasanya diletakkan dalam mode demo. Ini bermakna kualiti imej yang dipaparkan dipaksimumkan untuk kelihatan lebih cantik.

“Untuk perbandingan yang tepat, sebaiknya bandingkan dengan siaran yang biasa kita tonton di rumah, seperti Astro atau Netflix.

“Oleh itu, ketika melawat kedai televisyen, jangan hanya memerhati mode demo yang dipaparkan.

Minta mereka tukar saluran kepada Astro atau saluran lain yang setara. Dengan cara ini, kita boleh membuat perbandingan yang lebih adil, ‘apple to apple’.

Di rumah, kita tidak menonton mode demo tersebut,” terang Abang Elektrik.

BACA: ‘Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah’ Pemuda UMNO bidas DAP, sokong Menteri Pendidikan