Marzuk tidak faham masalah TH Plantation rugi hingga terpaksa jual aset – Penganalisa Ekonomi

Marzuk tidak faham masalah TH Plantation rugi hingga terpaksa jual aset – Penganalisa Ekonomi

Kira-kira 26,000 hektar tanah milik TH Plantations Berhad (THP) tidak boleh ditanam dengan kelapa sawit walaupun ratusan juta ringgit dibelanjakan bagi membeli aset berkenaan sejak 2012.

Kawasan tanah tidak produktif yang dimiliki anak syarikat Lembaga Tabung Haji menyamai keluasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur atau cukup untuk membina 48,587 padang bola.

Kegagalan untuk memaksimumkan kawasan berkenaan memberi kesan kepada kewangan THP yang menanggung hutang dan kerugian besar sejak dua tahun lalu.

THP yang 73.8 peratus kepentingan dimiliki oleh Tabung Haji memiliki kawasan tanah berjumlah 100,976 hektar termasuk 15,000 hektar tanaman jati dan getah.

Berdasarkan dokumen-dokumen yang dilihat Utusan Malaysia, kira-kira 26,000 hektar kawasan yang tidak boleh mendatangkan hasil itu merangkumi 12,000 hektar kawasan tanah yang tidak boleh dibangunkan kerana isu-isu pertikaian tanah.

Manakala kira-kira 10,000 hektar lagi tidak boleh ditanam kelapa sawit kerana tanah berkenaan berada di kawasan cerun curam, tanah kuari, sungai dan tanah moratorium.

Kawasan yang tiada hasil berjumlah 26,000 hektar itu termasuk rizab boleh ditanam, zon penampan, jalan, bangunan dan kilang juga memberi kesan kepada pengeluaran sawit THP.

Secara keseluruhannya, kira-kira 31,000 hektar daripada lebih 100,000 hektar tanah THP tidak boleh dibangunkan untuk tanaman.

Berdasarkan penyata kewangan semasa, THP mempunyai hutang berjumlah RM1.24 bilion dan tanggungan kepada pemiutang sebanyak RM211 juta pada akhir suku pertama tahun ini. Nilai syarikat itu di pasaran saham adalah RM305 juta dengan harga saham seunit 34.5 sen. Berdasarkan data, liabiliti keseluruhan THP adalah RM1.88 bilion berdasarkan data Wall Street Journal.

Isu penjualan aset THP dibangkitkan di Parlimen baru-baru berikutan cadangan jualan 14 anak syarikatnya yang diputuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Kerajaan Perikatan Nasional mungkin membatalkan penjualan aset berkenaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau dilaporkan berkata penjualan aset THP tidak akan menyelesaikan hutang THP dan sebaliknya syarikat itu memerlukan penstrukturan semula bagi tujuan menguruskan aliran tunai.

“Sebanyak 75 peratus hutang TH Plantations Bhd adalah daripada Tabung Haji sendiri.

“Soalan penting di sini adalah mengapa terlalu tergesa-gesa menjual (anak syarikat THP) sedangkan harga komoditi yang merupakan instrumen utama kepada TH Plantations, sedang pulih,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ahmad Marzuk berkata, 14 anak syarikat THP yang dicadangkan untuk dijual itu merangkumi 76,957 hektar atau 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang milik THP dibuat semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada Ogos 2019.

Sumber-sumber industri memberitahu Utusan Malaysia bahawa THP dalam proses penjualan aset bagi memastikan kelangsungan jangka panjang dan mengelak syarikat senaraian awam itu tidak terjerumus ke status PN17 atau bankrap disaman pemiutang.

THP mencatat kerugian RM678 juta pada tahun 2018 dan RM245 juta pada tahun lalu.

“Mereka ada tiga pilihan. Pertama, terbitkan saham. Kedua, mereka ambil lagi pinjaman. Kedua-dua pilihan ini mereka tak boleh buat, ianya menimbulkan pelbagai kerumitan lain.

“Maka tinggallah pilihan yang terakhir, iaitu melupuskan aset-aset yang tidak menguntungkan.

“Untuk menguruskan penjualan aset-aset ini, THP mempertimbangkan empat bank pelaburan sebagai perunding dan akhirnya yang dipilih adalah RHB Investment Bank Berhad (RHB IB),” kata salah seorang sumber industri itu kepada Utusan Malaysia.

“Mereka juga perlu melunaskan bayaran sukuk yang tinggi dan berhadapan risiko tindakan undang-undang daripada pemiutang,” kata sumber itu.

Penstrukturan semula bayaran sukuk kepada syarikat induknya, iaitu Tabung Haji juga bukan pilihan yang baik kerana mereka masih perlu menanggung bayaran faedah dan ia turut memberi kesan kepada kewangan Tabung Haji. Tambahan pula THP memerlukan sumber kewangan untuk membayar balik pemiutang yang telah lama tertunggak.

Pihak THP enggan memberi sebarang komen apabila dihubungi Utusan Malaysia.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/premium/2020/08/thp-hutang-rm1-24-bilion/

COMMENTS