Marah sahaja DAP, berhenti serang Veveonah – Lim Guan Eng

Marah sahaja DAP, berhenti serang Veveonah – Lim Guan Eng

Sekiranya kedua-dua Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) masih lagi mahu mencari kesalahan Veveonah Mosibin, DAP rela menjadi pengganti agar Kabinet Muhyiddin ini dapat melepaskan geram.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ketika ini kedua-duanya sepatutnya memberikan tumpuan menaik taraf kesaling hubungan internet di Sabah dan bukannya berterusan membuli pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

“Kedua-dua mereka, iaitu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri masih berdegil mempertahankan dakwaan mereka bahawa Veveonah, yang hanya berumur 18 tahun telah menipu.

“Malah, Zahidi menyalahkan DAP mahu mempolitikkan isu ini, sedangkan pihak kami tidak pernah berjumpa dengan Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar 18 tahun tersebut dalam ucapannya di Dewan Negara.

“Sekiranya kedua-dua Timbalan Menteri mahu juga terus mencari salah Veveonah, maka DAP rela mereka menukar sasaran, melepaskan geram ke atas DAP dan berhenti membuli Veveonah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng lagi, tumpuan seharusnya diberikan terhadap 50 tapak dalam 13 buah kampung di Sabah yang mana projek menaik taraf kesaling hubungan internet telah pun diluluskan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, kedua-dua Timbalan Menteri seharusnya buat kerja dan melaporkan perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) berjumlah RM290 juta untuk 152 tapak yang diluluskan oleh kerajaan PH.

“NFCP dirancang untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama rata,” katanya lagi.

Guan Eng juga berkata, keengganan kedua-dua Timbalan Menteri tersebut untuk menjelaskan status NFCP dan sebaliknya terus menerus menyerang Veveonah menunjukkan sikap angkuh mereka.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/henti-serang-veveonah-marilah-serang-dap-kata-guan-eng/

COMMENTS