Mangsa banjir kongsi detik cemas 12 jam atas bumbung surau

Kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding di sini yang terperangkap akibat banjir terpaksa berlindung lebih 12 jam atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding di sini, hari ini.

Seorang pengguna Facebook dikenali Puteri Nadia Natasha, mendakwa orang kurang upaya (OKU), bayi dan ibu mengandung antara individu yang berada di bumbung berkenaan.

“Dari malam tadi sampai pagi ini tiada bantuan atas bumbung Surau Al-Munir Taman Sri Nanding. Semua dalam kesejukan!,” katanya.

Mangsa banjir kongsi detik cemas 12 jam atas bumbung surau
Pengguna Facebook memuat naikkan gambar sekumpulan penduduk yang terpaksa berteduh di bumbung sebuah surau di Taman Sri Nanding, Hulu Langat selepas rumah mereka dinaiki air.

Difahamkan, Puteri Nadia Natasha dimaklumkan perkara itu oleh seorang rakannya menerusi perkongsian video ketika berada di atas bumbung surau berkenaan.

Sementara itu, pengguna Twitter @kamarul14 memaklumkan hotline pihak berkuasa termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan bantuan menyelamat mangsa banjir di Taman Sri Nanding, tidak dapat dihubungi kerana talian sibuk.

“Ada warga emas berkerusi roda, bayi baru lahir dan ramai lagi mangsa terperangkap di Surau Al Munir. Empat jam lebih tunggu (untuk bantuan), air makin naik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis, berkata pihak berkuasa sedang giat melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di Lembah Klang termasuk Hulu Langat.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil maklum mengenai maklumat sekumpulan penduduk terpaksa berteduh di bumbung sebuah surau di Taman Sri Nanding, Hulu Langat selepas rumah mereka dinaiki air.

“Pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi sedang melakukan operasi menyelamat mangsa,” katanya kepada media menerusi WhatsApp, hari ini.

BACA JUGA : Mangsa lemas ditemui lepas banjir surut
Hati-hati !!! Baru ‘ekor’, ‘kepala’ ribut masih belum sampai