Malaysia lulus pelaburan RM2.3 bilion untuk pembuatan produk berkaitan sanitari

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 21 projek untuk pembuatan produk berkaitan sanitari, melibatkan pelaburan RM2.3 bilion, dari 1980 sehingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, RM2.2 bilion terdiri pelaburan asing manakala bakinya sebanyak RM125 juta adalah daripada sumber domestik, kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan majlis pecah tanah Vinda Group senaraian Hong Kong untuk ibu pejabat Asia Tenggara (HQ) kumpulan itu di Bukit Raja, Klang, hari ini.

MIDA, agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menyambut baik usaha Vinda Group, pengeluar utama produk kebersihan berjenama seperti lampin pakai buang bayi, produk inkontinens dan produk perlindungan wanita, untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau ini menerusi pewujudan HQ serantau.

“Kami meramalkan HG serantau Vinda Group yang baharu itu akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan pembangunan ekosisitem industri produk berkaitan kumpulan itu di negara ini. Ia juga akan dapat menyediakan akses dan fleksibiliti lebih baik dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud dalam ucapannya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) Mohamad Ismail Abu Bakar.

Azman turut memuji usaha dijalankan kumpulan itu untuk memupuk potensi Industri 4.0, yang selari dengan inisiatif Industri4WRD kerajaan.

“Ini akan membuka laluan untuk peningkatan produktiviti serta pewujudan kerja bernilai tinggi yang akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia dan kesejahteraan masyarakat.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak syarikat mencontohi Vinda Group dan meningkatkan lagi tahap mereka dari segi amalan terbaik dan produtiviti dalam jangka terdekat. Ini sekaligus akan mewujudkan kerja lebih baik untuk negara,” katanya.

BERNAMA