Malaysia contoh perpaduan, kata ahli silap mata Kabir Khan

kabir khan.jpg
Ahli silap mata terkenal, Kabir Khan Mohamad Reaz bakal mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020) semasa mengadakan persembahan di luar negara dengan menyampaikan kepada dunia mesej perpaduan dalam keajaiban kepelbagaian di Malaysia.

“Sekiranya ada perkara yang saya ingin sampaikan kepada audiens antarabangsa adalah Malaysia merupakan contoh perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian,” katanya.

Kabir Khan, yang juga Duta Pelancongan ke Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah, berkata beliau komited dalam membantu kerajaan mencapai sasaran ketibaan 30 juta pelancong tahun depan melalui persembahan silap mata di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan Malaysia.

“Saya mengadakan pertemuan minggu lepas dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammadin Ketapi semasa mengunjungi beliau pada Persidangan Pelancongan Dunia untuk membincangkan apa yang telah saya lakukan untuk menarik pelancongan ke Malaysia dan rancangan saya untuk Tahun Melawat Malaysia 2020,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau akan mengadakan siri persembahan di Tokyo, Geneva, London, Dubai dan Los Angeles yang dirancang khusus untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kabir Khan dilantik sebagai Duta Pelancongan oleh kerajaan pada 2016 dan pelantikannya baru-baru ini diperluaskan meliputi Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.

BERNAMA