Tan Hock Eng, seorang hartawan kelahiran Malaysia yang lebih dikenali sebagai Hock Tan, telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Dengan gaji tertinggi di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2023, menurut analisis yang dilakukan oleh The Wall Street Journal (WSJ).
Gaji yang diterima oleh Presiden dan CEO Broadcom Inc, sebuah syarikat semikonduktor global,
melampaui gaji CEO firma-firma besar lain di AS, termasuk Tim Cook (Apple), Elon Musk (Tesla), dan Mark Zuckerberg (Meta).
Menurut laporan analisis WSJ, Hock Tan menerima ganjaran sekitar AS$162 juta (RM760 juta) pada tahun lepas.
Walau bagaimanapun, ganjaran tersebut adalah bersyarat, di mana beliau hanya akan menerima jumlah penuh jika saham syarikatnya mencapai paras tertentu menjelang tahun 2025.
Broadcom menjelaskan bahawa gaji Hock Tan juga bergantung kepada prestasi dalam peranannya selama lima tahun akan datang, dan beliau tidak akan menerima lebih banyak ekuiti atau bonus tunai sehingga tempoh tersebut berakhir.
Saham syarikat semikonduktor itu meningkat sebanyak 27 peratus tahun ini dan 106 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, meningkatkan jumlah kapitalisasi pasarnya kepada AS$655 bilion (RM3.07 trilion).
Sebelum ini, Hock Tan telah mendahului senarai WSJ pada tahun 2017, apabila beliau menerima ganjaran sebanyak AS$103 juta (RM483 juta).
Dua CEO lain yang memperoleh gaji sembilan angka pada tahun 2023, menurut analisis WSJ, adalah Nikesh Arora dari Palo Alto Networks dan Steve Schwarzman dari Blackstone. Arora mendapat AS$151 juta (RM709 juta), manakala Schwarzman memperoleh AS$120 juta (RM563 juta).
Hock Tan dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1951 dan menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 1971. Beliau juga memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Harvard beberapa tahun kemudian.
Sebelum berhijrah ke AS, Hock Tan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Hume Industries di Malaysia dari tahun 1983 hingga 1988, dan kemudian menyertai Pacven Investment di Singapura dari tahun 1988 hingga 1992.
Beliau kemudiannya menjadi CEO Integrated Circuit Systems Inc dan apabila syarikat tersebut dijual kepada Integrated Device Technology Inc, beliau menjadi Pengerusi syarikat itu.
Hock Tan kemudiannya diambil untuk menerajui sebuah syarikat baharu, Avago, susulan pembelian saham persendirian oleh Semiconductor Products Group daripada Agilent Technologies pada tahun 2005.
Pada tahun 2015, beliau menggabungkan syarikat itu dengan Broadcom Corporation susulan satu pengambilalihan, membentuk Broadcom Inc yang diketuai olehnya sehingga kini.
Pada Februari tahun lalu, beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Meta.