Majlis antara agama desak kembalikan cuti Thaipusam di Kedah

Majlis antara agama desak kembalikan cuti Thaipusam di Kedah

Majlis antara agama menggesa menteri besar Kedah mengembalikan cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu dan “mengorak jalan ke arah semangat keharmonian kebangsaan”.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, alasan diberikan Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak mengumumkan cuti itu, tidak dapat diterima dan menunjukkan “kegagalan untuk menerima sensitiviti agama di Malaysia yang rakyatnya begitu majmuk dan mempunyai pelbagai kepercayaan.”

Rabu lalu, Sanusi mengumumkan tiada cuti Thaipusam di Kedah tahun ini kerana semua aktiviti untuk festival tahunan itu dibatalkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, majlis itu berkata sekatan pergerakan hanya untuk perhimpunan besar-besaran di kuil, malah ramai penganut Hindu sudah mula berpuasa, bernazar “dan membuat persediaan menyambut Thaipusam dalam normal baharu menerusi upacara di rumah bersama keluarga.”

Kenyataan itu ditandatangani presiden majlis berkenaan, Archbishop Julian Leow Beng Kim, Sardar Jagir Singh dari Majlis Gurdwara Malaysia, RS Mohan Shan dari Malaysia Hindu Sangam, Zhang Tan Hoe Chieow (Gabungan Persatuan Tao Malaysia) dan Venerable Sing Kan (Persatuan Buddha Malaysia).

Thaipusam adalah festival penebusan dosa agama Hindu dan disambut sebagai cuti umum di Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Selangor. Ia bukan cuti umum di Kedah, tetapi disambut sebagai cuti peristiwa sejak beberapa tahun lalu. – FMT

COMMENTS