Majikan masih keliru dengan arahan kerja dari rumah

Majikan masih keliru dengan arahan kerja dari rumah

Kumpulan majikan meminta penjelasan kerajaan berhubung peraturan di bawah arahan bekerja dari rumah, yang berkuat kuasa hari ini bagi kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan di sektor industri dan awam perlu bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKPB.

Turut diumumkan, maksimum 10% kakitangan kanandari jabatan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dibenarkan berada di pejabat selama 4 jam dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, 3 hari seminggu.

Sementara itu, pekerja di zon merah yang diminta bekerja di pejabat disarankan menjalani ujian swab Covid-19, dengan kos ditanggung oleh Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, masih timbul “banyak kekeliruan” mengenai peraturan ujian swab dan majikan tidak pasti sama ada semua pekerja di zon merah atau hanya mereka yang bertugas di peringkat pengurusan dan penyeliaan sahaja perlu diuji.

Shamsuddin memberitahu FMT, walaupun ujian swab tidak diwajibkan, tidak jelas sama ada ujian itu kekal percuma sekiranya pekerja diminta untuk menjalani ujian buat kali ke-2.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai had 10% dan definisi kerajaan mengenai jawatan pengurusan dan penyeliaan.

“Sekiranya hanya ada 5 orang pengurus dalam sebuah syarikat, seorang itu sudah merangkumi 20% kategori yang dibenarkan bekerja,” katanya.

“Peraturan 10% tidak terpakai untuk syarikat yang kecil. Ini boleh menimbulkan masalah kepada operasi.”

Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC), Shaun Edward Cheah menyurakan kebimbangan yang sama, dengan berkata,peraturan kerajaan sering tidak jelas dan terddah kepada tafsiran.

“Mereka (kerajaan) setiap masa tukar-tukar,” katanya. “Ia seperti mereka tidak bersepakat dan nampaknya seperti tiada taklimat dibuat kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Setakat yang kita tahu, pekerja dibenarkan pergi bekerja dengan hanya bawa surat majikan. Bagaimanapun, ada anggota yang bertegas mahu seorang kakitangan kami tunjukkan kad pekerja. Tidak semua syarikat sediakan kad pekerja.”

Walaupun beliau menyokong keputusan kerajaan untuk mengurangkan jumlah orang di tempat kerja, namun Cheah menggesa Putrajaya supaya berkomunikasi dengan lebih baik dengan pihak penguatkuasaan dalam memastikan orang ramai dibenarkan pergi ke tempat kerja tanpa sebarang masalah.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai berkata, organisasinya bersyukur dengan kelonggaran yang ditunjukkan dalam membenarkan kakitangan pengurusan dan penyeliaan terus bekerja di pejabat kerana tidak semua syarikat bersedia untuk membolehkan semua kakitangan bukan produksi bekerja dari rumah.

Namun katanya, had maksimum 10% untuk kakitangan kanan itu mungkin menimbulkan cabaran kepada perusahaan kecil dan sederhana dengan jumlah pekerja yang kecil, terutama jika PKPB dilanjutkan.

Beliau berkata, wujud juga kebimbangan mengenai ujian swab ke atas pekerja kerana masa yang diperlukan untuk menjalani ujian dan menunggu keputusan mungkin menjejaskan operasi perniagaan.

Michael Kang, presiden Persatuan IKS Malaysia berkata, banyak perniagaan terpaksa sentiasa berhati-hati berhubung perkembangan semasa mengenai sekatan pergerakan dan arahan bekerja dari rumah.

“Setiap hari ada perkara baru, tetapi kita tak ada pilihan selain patuh dengan SOP sekiranya kita mahu mengurangkan jumlah kes Covid-19 dan pada masa sama menjaga ekonomi,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/22/pkpb-majikan-keliru-dengan-arahan-bekerja-dari-rumah/

COMMENTS