Main game boleh dapat RM600K, lelaki dari Shah Alam ni bongkar rahsia. Niat asalnya mahu menghiburkan orang dengan keletahnya namun pengaruh sebagai Youtuber dan penyedia kandungan permainan video di Tik Tok nyata membuka pintu rezeki tidak dijangka buat Muhd Rezza Rosly atau dikenali sebagai Rezzadude.
Ini kerana lelaki yang mesra disapa Rezza, 26, itu berpeluang meraih RM600,000 sejak tujuh tahun aktif sebagai penyedia kandungan permainan video.
Rezza yang juga pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Selangor (Unisel) tidak pernah menyangka percubaannya membuahkan hasil, hanya bersandarkan kepada minat dan pengetahuan dalam permainan video dan kepetahan bercakap di hadapan kamera.
“Sebelum kenal dunia game, saya minat melukis dan sukakannya kerana abah langgan pakej rancangan kartun.
“Bagaimanapun, minat terhadap permainan video tercetus selepas pergi ke rumah sepupu dan melihatnya bermain konsol.
“Seminggu kemudian, abah beri kejutan dengan membelikan saya konsol PlayStation 1, dan sejak itu saya mula teroka sendiri,” katanya.
Rezza berkata, dia bermula menjadi penyedia kandungan pada 2015 apabila tertarik mencuba selepas menonton video perkongsian Youtuber Sweden, PewDiePie.
“Inspirasi saya adalah PewDiePie kerana dia adalah Youtuber permainan video nombor satu, jadi saya mahu ikut jejak langkahnya dengan membuat kandungan sama dalam versi tempatan.
“Niat asal adalah untuk buat vlog, tetapi terbantut kerana tiada kamera menyebabkan saya memberi fokus di Youtube.
“Jujurnya saya tidak tahu menjadi Youtuber boleh menjana pendapatan kerana ingat hanya untuk suka-suka saja sehingga diberitahu rakan yang lebih arif.
“Alhamdulillah, saya diterima baik hingga pernah tular dan gembira apabila dapat membuka mata masyarakat yang sebenarnya ramai streamer di negara ini,” katanya.
Berkongsi mengenai pendapatan diterima, Rezza berkata, dia bersyukur kerana rezekinya sentiasa ada daripada awal pembabitan sehingga kini.
Lebih menggembirakan apabila dia dapat membeli kereta idaman iaitu Mercedez AMG hasil pendapatannya sebagai penyedia kandungan.
“Pendapatan saya tidak menentu tetapi kebiasaannya lebih RM2,000 sebulan. Ia hasil kerjasama dengan Youtube dan kempen. Hasil pendapatan itu saya guna untuk beli konsol serta permainan video terbaru, malah sanggup menghabiskan ribuan ringgit.
“Selebihnya saya guna untuk meringankan beban keluarga. Keluarga menyokong dan ikutkan, saya ada perancangan lebih besar iaitu membuka sebuah kafe bertemakan permainan video selain menubuhkan pasukan e-sukan, sama ada sebagai jurulatih atau ada di dalamnya (pasukan),” katanya.
Pendapatan mampu cecah 5 angka
Shah Alam: Usia Syahmi Hafiy Shahrul Zaman baru mencecah 24 tahun, namun meraih pendapatan bulanan mencecah lima angka dengan menjadi streamer dan Youtuber yang mengetengahkan kandungan permainan video.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang dikenali sebagai Oohami dalam kalangan pengikutnya berkata, dia tidak pernah memasang impian untuk menjadi streamer sebagai kerjaya tetap.
Bagaimanapun, katanya, minat, sokongan pengikut dan pulangan diterima mendorongnya untuk terus menjadi streamer dan Youtuber sepenuh masa.
“Sebenarnya, sejak berusia lima tahun lagi, saya suka main permainan video dan terus bermain sampai memasuki sekolah rendah.
“Cuma pada awalnya secara offline (luar talian), tetapi terjebak dengan permainan video dalam talian (online) selepas diperkenalkan rakan sekitar 2011.
“Saya main macam biasa tetapi selepas tamat sekolah baru terfikir membuka saluran Youtube dan memuat naik video. Permulaannya pada 2016 untuk suka-suka,” katanya.
Bagi Oohami, kepuasan buat dirinya apabila dapat bermain permainan video dan tidak sangka Youtube membuka jalan untuknya menjana pendapatan yang banyak.
“Keluarga awalnya tidak suka kerana tidak nampak hala tuju saya sehingga membuatkan mereka marah. Saya akui apa dikatakan itu betul kerana pada tahun pertama, saya sendiri tak nampak hasilnya.
“Selepas setahun iaitu pada Februari 2017, baru saya dapat pendapatan pertama daripada Youtube AS$800 (RM3,771).
“Sejak itu, keluarga mula sedar dan saya juga dapat membuktikan bahawa menjadi streamer dan Youtuber boleh mendatangkan hasil,” katanya.
BACA:
Perkongsian wanita jelajah Eropah DIY selama 3 minggu raih perhatian, siap kongsi tips
Aksi Jebat cabut taugeh jadi perhatian, netizen puji ‘multitask betul!’
Fuad Rahmad kenang detik hitam, ‘enam kali disebat dalam penjara, terpaksa tidur meniarap seminggu’