Mahkamah kekal hukuman mati keturunan ‘Sultan Sulu’, ini respon Menteri Undang-undang

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina

Dianggap setimpal dengan sifat dan kezaliman mereka terhadap pasukan keselamatan negara yang terkorban

Dalam insiden pencerobohan di Kampung Tandou, Lahad Datu pada tahun 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),

Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa keputusan ini juga merupakan langkah positif untuk negara.

Mahkamah kekal hukuman mati keturunan 'Sultan Sulu', ini respon Menteri Undang-undang

“Mereka ini kita lihat sebagai penderhaka, dan mereka telah mencetuskan banyak kejadian yang mengakibatkan anggota pasukan keselamatan kita menjadi mangsa.

“Bagi saya, apa yang mereka tuntut itu lebih kepada gerakan pengganas. Tuntutan yang mereka buat adalah tuntutan yang tidak wujud selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia,”

katanya kepada pemberita selepas menonton tayangan khas filem ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di sini, malam ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas ketujuh-tujuh individu tersebut, termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku sebagai Sultan Sulu, kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun yang lalu.

Mereka ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, Atik Hussin Abu Bakar, 52, Basad H. Manuel, 49, Virgilio Nemar Patulada, 59, Al Wazir Osman, 68, Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75.

Sembilan anggota pasukan keselamatan telah gugur sebagai wira negara dalam insiden tersebut yang berlaku antara 12 Februari hingga 10 April 2013.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas mereka selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Azalina enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan isu dalang atau ‘penderhaka’ dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong serta membantu kumpulan Sulu dalam membuat tuntutan ke atas Sabah.

“Kita selesaikan perkara yang di mahkamah antarabangsa (Mahkamah Agung Perancis) dahulu. Insya-Allah, selepas semua ini selesai, kita akan nyatakan,” katanya.

Pada 24 Jun yang lalu, beliau menyatakan bahawa kerajaan sedang mengenal pasti dalang dan penderhaka terbabit selepas pihaknya mendapat maklumat bahawa mereka adalah penggerak serta pemberi maklumat kepada kumpulan Sulu.

BACA: Ahli parlimen Pulai rasmi besi penutup longkang, ini respon tuan badan